Ain Edruce dah puas hidup bujang
PELAKON dan pengacara, Ain Edruce memberitahu dia sudah bersedia untuk berumah tangga malahan usianya juga sudah menjengah ke-28 tahun.
"Ada orang cakap rushing sangat nak kahwin? Saya dah 28 tahun dan sesuai untuk mendirikan rumah tangga.
"Kalau kahwin awal boleh buat family planning dan memang rezeki anak atas kehendak-Nya.
"Tetapi faktor umur pun memainkan peranan. Lagi pun saya dah puas hidup bujang, inilah masanya untuk pecahkan tembok bujang tu," luahnya.
Ain ditemui pada rakaman sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) Raya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor, Rabu lalu.
Mengulas mengenai majlis pertunangan dan perkahwinan yang dijangka akan berlangsung pada penghujung tahun ini, Ain bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang kuat.
"Majlis tunang dan kahwin saya akan buat lepas raya tahun yang sama.
"Walaupun saya sibuk dengan kerjaya seni lakonan dan pengacaraan, sebenarnya keluarga banyak membantu saya, boleh dikatakan 100 peratus dibantu keluarga untuk persiapan bertunang," luahnya.
Ditanya adakah Ain bekerja keras untuk duit kahwin, jawab pelakon drama bersiri Slot Akasia di TV3, 30 Pesanan Suara itu mengakui lebih kepada untuk mencari duit bercuti.
"Mungkin cari duit nak kahwin... tapi sejujurnya saya lebih nak cari duit untuk bercuti.
"Saya plan nak rehat namun bila sudah dapat job, saya ini pula orangnya jenis susah nak tolak rezeki. Kadang-kadang plan nak berehat bercuti selalu tak jadi.
"Mungkin bercadang ke Eropah selepas hari raya nanti bersama keluarga," katanya.
Sebelum ini heboh di media sosial kononnya Ain sudah melangsungkan majlis tali pertunangan dengan kekasih hati, Amirul Hafiz, 26, namun penularan itu hanya majlis merisik sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!