Hampir 3,000 pelajar di Kuantan terima BSM

Wan Rosdy (kanan ) menyampaikan BSM kepada penerima.
Wan Rosdy (kanan ) menyampaikan BSM kepada penerima.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 2,904 pelajar dari 30 sekolah menengah di Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota menerima Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) berjumlah RM870,000 daripada kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang (YP).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hampir RM1.2 bilion dibelanjakan bermula 1983 hingga Disember 2018 untuk membiayai biasiswa, pinjaman pendidikan, sukan, kebudayaan dan kemasyarakatan.

"Biasiswa BSM memberi manfaat kepada 1.5 Juta penerima meliputi semua lapisan masyarakat dan ia dibayar sebanyak RM600 setahun membabitkan dua penggal.

"BSM YP adalah penyumbang biasiswa utama di negeri ini berbanding Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP). Para penerima terdiri daripada isi rumah yang pendapatannya RM2500 ke bawah," katanya.

Wan Rosdy (tengah) bersama sebahagian penerima BSM yang diraikan.
Wan Rosdy (tengah) bersama sebahagian penerima BSM yang diraikan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian BSM YP 2019 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YP, Datuk Mahmud Mohd Nawawi di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari jalan untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan rakyat, sekali gus meringankan beban mereka.

"YP juga sediakan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR). Setakat ini seramai 108,239 murid sekolah rendah menerima manfaat daripadanya dengan implikasi kewangan sebanyak RM74 juta sejak 2002," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu,Wan Rosdy berkata, aplikasi Pahang Go diyakini akan melancarkan lagi proses bayaran termasuk tunggakan kutipan cukai yang memberangsangkan untuk suku tahun pertama 2019.

"Dengan sistem Pahang Go mereka boleh membuat bayaran di atas talian dengan cepat dan menjimatkan masa. Sistem ini masih dalam proses dan dijangkakan boleh digunakan dalam masa terdekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!