Abang bomba hafaz 30 juzuk al-Quran
KUALA KUBU BHARU - Unit Hal Ehwal Agama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang ditubuhkan setahun lalu dibarisi pegawai berkelulusan tinggi dalam bidang keagamaan.
Salah seorangnya, Penguasa Bomba Luqman Ramli, 30, yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah, Universiti Al-Azhar di Mesir dengan penguasaan hafazan 30 juzuk al-Quran.
Luqman berkata, dia memasuki maahad tahfiz pada usia 13 tahun selama empat tahun sebelum ke Maktab Mahmud, Langkawi bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
"Saya memang berhasrat untuk menjadi anggota bomba dan sebab itu saya mengisi permohonan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) secara atas talian.
"Alhamdulillah hasrat saya tercapai dan menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu sebelum ditempatkan di unit integriti di Putrajaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup Pertandingan Tilawah al-Quran, Alunan Azan dan Qasidah peringkat JBPM yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Amer Yusof di sini kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Komandan ABPM Wilayah Tengah, Md Ali Ismail.
Menurutnya, selepas tamat pengajian di Universiti Al Azhar beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru tafsir dan hadis di Sekolah Menengah Agama (SMA) Baqayatussolihat selama tiga tahun.
"Berkhidmat sebagai anggota bomba menepati jiwa saya kerana berkelulusan bidang agama tidak semestinya akan bekerja sebagai ustaz," katanya
Sementara itu Amer berkata, Unit Hal Ehwal Agama diketuai Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Maat yang berkelulusan bidang syariah.
Menurutnya, unit tersebut menempatkan pegawai berkaitan di setiap negeri bagi menyelaraskan program keagamaan dan kerohanian termasuk pengurusan jenazah anggota yang terkorban ketika bertugas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!