Tekanan perasaan golongan mualaf
BERGELAR saudara baharu bukanlah perkara mudah, tidak seperti mereka yang dilahirkan sebagai seorang Islam. Bagi mereka yang bergelar mualaf pada usia muda, cabaran yang ditempuhi barangkali lebih hebat, lebih-lebih lagi jika masih bergantung kepada keluarga, seperti mereka yang masih di bangku sekolah atau universiti.
Oleh kerana belum mempunyai pendapatan sendiri, ada yang terpaksa merahsiakan identiti sebagai seorang Islam bagi menjaga perasaan ahli keluarga serta mengelakkan diri daripada dibuang atau disisih oleh keluarga. Dulu kita sering mendengar cerita bagaimana mualaf dibuang oleh ahli keluarga serta dipulau sanak saudara mahupun rakan-rakan dan tinggal sehelai sepinggang.
Kepada siapakah mereka hendak mengadu?
Mereka terhimpit dengan tekanan yang menyusul selepas bergelar seorang Muslim. Ada yang mengalami tekanan perasaan yang teruk hingga menyebabkan penyakit mental. Pada masa sama, mereka sukar menyesuaikan diri dengan masyarakat Islam asal dan ini menambahkan lagi kekecewaan mereka.
Kajian yang dilakukan oleh Dr Osman Chuah untuk tesis beliau pada 1997 yang bertajuk Interaction and Integration of Chinese Muslims with their Malay Counterparts in Selangor menjelaskan cabaran yang terpaksa dihadapi komuniti Cina Muslim selepas memeluk Islam.
Antaranya, stereotaip yang tidak sihat dalam keluarga bukan Muslim yang menganggap menganut Islam bermakna masuk Melayu (Jip Huan) dan mereka yang kembali kepada Islam dilihat sebagai pengkhianat bangsa.
Antara masalah utama bagi mereka yang baru memeluk Islam adalah untuk memberitahu ahli keluarga tentang pengislaman mereka.
Ini kerana kebanyakan keluarga bukan Islam tidak dapat menerima pengislaman ahli keluarga mereka dengan hati terbuka. Keluarga bukan Islam takut kehilangan anak kerana suatu ketika dahulu, mereka yang memeluk Islam tidak dibenarkan tinggal dengan keluarga asal atas sebab masalah fiqah seperti makanan yang tidak halal.
Terdapat juga kebimbangan mereka akan kembali kepada agama asal. Berkahwin
Atas sebab-sebab ini, mereka yang baru memeluk Islam akan dicarikan keluarga angkat dan mereka akan tinggal dengan keluarga angkat untuk jangka masa lama.
Terdapat kes wanita yang memeluk Islam dan kemudiannya berkahwin dengan lelaki Melayu, tidak dibenarkan suami untuk pulang berjumpa keluarga asal hingga mereka tidak dapat berjumpa ibu bapa mereka sebelum ibu bapa mereka meninggal dunia. Kes-kes sebegini menyebabkan ramai masyarakat bukan Islam cukup takut anak-anak mereka memeluk Islam kerana risau kehilangan anak.
Dengan adanya pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang mempunyai cawangan di setiap negeri di Malaysia serta NGO lain yang sentiasa memberikan penerangan bahawasanya Islam ini universal dan sesuai untuk semua bangsa dan warna kulit, stereotaip ini semakin berkurang. Kini, ramai yang sudah faham bahawa tidak perlu memakai baju Melayu lengkap bersamping untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Saya cukup tertarik dengan laporan berita tentang seorang kanak-kanak lelaki Cina, Muhammad Firdaus Hong, yang memeluk Islam pada umur 11 tahun. Firdaus yang baru berada di Tahun Enam menjalani ibadah puasa buat kali kedua pada tahun ini.
Menariknya, ibu bapanya yang beragama Buddha bukan sahaja tidak menghalangnya memeluk Islam malah memberi sokongan dan suntikan semangat agar dia menjadi seorang Muslim yang taat dan patuh. Firdaus masih tinggal dengan ibu bapanya yang bukan Islam. Ibu bapa Firdaus akan mengejutkannya pada jam 5 pagi untuk bangun bersahur serta menghantarnya setiap hujung minggu untuk mendalami Islam dengan datuk angkat Melayu, Aziz Isa.
Saya juga tertarik dengan berita berkenaan seorang OKU cacat penglihatan yang melanjutkan pengajian di Darul Quran Jakim di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Tan Mike Foong yang berumur 23 tahun sudah memeluk Islam selama empat tahun dan tinggal bersama keluarganya yang bukan Islam.
Ibu dan bapanya yang beragama Buddha bukan sahaja menghormati keputusan memeluk Islam, malah menghantarnya ke masjid dan mendaftarkannya di sekolah tahfiz.
Alangkah bahagianya jika semua keluarga bukan Islam memahami serta bertoleransi apabila anak-anak mereka memeluk agama Islam.
*Dr Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!