Islam, Melayu tertekan kerana BN
SEJAK Pakatan Harapan (PH) menumbangkan kleptokrasi – kerajaan yang mencuri – setahun lalu, banyak pihak yang bimbang dengan kedudukan Islam dan orang Melayu.
Ada yang kata Islam tertekan. Ada yang kata Melayu dipinggirkan. Ada yang buat tunjuk perasaan. Ada yang buat forum dan perbincangan.
Itu hak merekalah asal tidak langgar undang-undang sebab kita dalam PH mengamalkan kebebasan dan kuasa undang-undang (the rule of law).
Kita pun bimbang juga dengan kedudukan Islam. Oleh sebab itulah kita ambil langkah tegas membongkar penyelewengan kerajaan terdahulu dan menyekatnya daripada berterusan dalam pentadbiran kita.Bukan itu saja, kita telah membelanjakan wang yang banyak untuk menyelamatkan institusi Islam dan Melayu atau majoriti pesertanya Melayu umpama Tabung Haji, Felda, Mara dan Felcra.
Kalau kita tekan atau pinggirkan Islam dan Melayu, tentulah kita tidak buat semua ini. Kita bersenang diri biarkan TH, Felda, Felcra dan Mara lingkup.
Tidak susah sangat pun. Kita kata, TH rosak bukan kerana kita tapi kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kroni nombor satunya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Bukan kita yang langgar undang-undang dan peraturan untuk sembunyikan kedudukan sebenar kewangan TH supaya boleh beli undi dengan bayar hibah tinggi.Macam itu juga dengan Felda. Yang jadi mentor Felda bukan kita tetapi Najib. Pengerusikan Felda bukan orang kita tapi orang Najib – Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Bukan kita yang jual harta Felda dengan membuat tawaran awam permulaan (IPO) melalui Felda Global Ventures (FGV) dan beli hotel dengan harga melebihi penilaian. Itu kerja Najib dan Isa.
Tetapi oleh sebab kita peduli tentang Islam dan orang Melayu serta tidak berdusta macam orang yang melemparkan tuduhan terhadap kita, maka kita bukan setakat selamatkan institusi Islam dan Melayu malah kita perkukuhkannya.
Kita belanjakan RM17.8 bilion bagi menyelamatkan TH dan Alhamdulillah dalam masa yang singkat kita berjaya pulihkan kewangan TH sehingga mampu membuat keuntungan sederhana RM400 juta, membayar hibah kecil sebanyak 1.25 peratus dan meneruskan subsidi haji sebanyak RM400 juta.
Begitu juga Felda. Kerajaan PH menyuntik RM6.23 bilion bagi memulihkan kewangannya. Secara teknikal Felda hampir muflis.
Tapi pencacai dan pemakan dedak pro-BN terus fitnah untuk menutup malu setelah gagal meyakinkan orang ramai untuk terus bersama BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Dalam loghat Utara, kita kata mereka sudah mencalai.
Kita akan terus siasat, bongkar dan ambil tindakan ke atas pihak-pihak yang mengkhianati Islam dan orang Melayu.
Terbaharu kita dengar bagaimana duit Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) sebanyak RM1 juta untuk bantu anak yatim digunakan untuk bayar yuran guaman pembantu Najib yang juga ahli lembaga pengarah YaPEIM.Kita dengar bagaimana tanah milik tentera dibagi kepada pemaju swasta sesuka hati dan dengan syarat yang meragukan untuk projek pertukaran tanah.
Di bawah amalan ini, pemaju diberikan tanah tentera yang mempunyai nilai perniagaan. Mereka kemudian menggantikannya dengan lokasi lebih murah berserta kemudahan tertentu.
Saya pernah menulis mengenai hal ini pada 2013 berikutan pergaduhan dalam kalangan penerima sebidang tanah tersebut di Bukit Raja, Klang. Ia memaksa Boustead Holdings Berhad, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera, ambil alih tanah itu dengan harga yang berganda tingginya.
Semua terlibat dalam skandal itu sama ada pemimpin UMNO atau kawan rakan keluarga Perdana Menteri. Sejak kejatuhan BN, salah seorang daripada mereka iaitu peniaga permaidani, Deepak Jaikishan, mengemukakan saman ganti rugi terhadap Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Setakat ini Kementerian Pertahanan telah membuat 16 aduan mengenai skandal pertukaran tanah ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Banyak lagi perbuatan melampau dan sikap tidak ambil peduli terhadap harta negara yang berlaku ketika pemerintahan BN telah dan sedang dikesan, termasuk pemberian dan penjualan tanah kerajaan kepada beberapa orang Raja Melayu dengan diskaun sehingga 90 peratus daripada harga taksiran.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!