Akur jika disuruh berpindah

Misnah (tiga dari kanan) menerima sumbangan daripada Risda Batu Pahat di rumahnya di Tongkang Pechah semalam.
Misnah (tiga dari kanan) menerima sumbangan daripada Risda Batu Pahat di rumahnya di Tongkang Pechah semalam.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang warga emas di Tongkang Pechah di sini akur sekiranya diarahkan untuk berpindah oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selepas menduduki rizab tanah agensi berkenaan hampir 40 tahun.

Misnah Saribon, 71, berkata, walaupun kini dia masih dibenarkan menumpang di tanah rizab itu namun dia tetap bimbang apabila kawasan rumahnya yang kini dijadikan Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pechah mahu digunakan oleh MAINJ.

"Masa mula-mula makcik bersama suami dan anak-anak tinggal di kawasan ini, kami memang tahu ini merupakan tanah rizab MAINJ. Dahulu tiada kubur dan selepas beberapa tahun lalu baru tanah ini digunakan untuk urusan pengebumian selepas tanah kubur sedia ada telah penuh.

"Kalau tanah di kawasan rumah makcik sekarang ini hendak digunakan dan makcik diarahkan untuk berpindah, terpaksalah makcik ikut kerana memang makcik hanya menumpang di sini dan tidak tahu untuk tinggal di mana kerana rumah ini sahajalah yang makcik ada," katanya.

Dia ditemui semasa Program Jelajah Asnaf Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Batu Pahat 2019 yang diketuai oleh Pegawai Risda Daerah Batu Pahat, Azizah Duni di Tongkang Pechah di sini kelmarin.

Misnah berkata, dia yang kini tinggal bersama anaknya yang berumur 40-an itu juga hidup di dalam serba kekurangan dan hanya bergantung kepada pendapatan anaknya itu yang menjual kuih secara kecil-kecilan dan hanya mampu menampung perbelanjaan makanan harian mereka sahaja.

Katanya, selain hidup serba kekurangan, rumah yang menjadi tempat mereka berteduh juga dalam keadaan usang dan hampir rebah ke bumi kerana sejak dibina 40 tahun lalu, rumah berkenaan tidak pernah dibaiki kerana kesempitan wang.

"Hidup makcik juga semakin susah selepas suami meninggal dunia awal tahun lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru dan sebelum ini makcik hanya bergantung harap kepada arwah suami yang bekerja mengambil upah di kebun sekitar tempat kami tinggal.

Artikel Berkaitan:

"Makcik sudah buat permohonan kepada Baitulmal untuk dapatkan bantuan bulanan dan sekarang masih menunggu jawapan sama ada diluluskan atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, Azizah berkata, Misnah merupakan seorang daripada 15 penerima yang disenaraikan oleh pihaknya untuk menerima sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai bagi digunakan sepanjang Ramadan dan Syawal nanti.

Menurutnya, pogram yang memasuki tahun kedua ini juga bagi membantu golongan asnaf termasuk pekebun kecil Risda yang kurang berkemampuan untuk menikmati kehidupan sama seperti insan lain terutamanya menjelang lebaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!