Catriona Gray dari Filipina, Miss Universe 2018
BANGKOK - THAILAND. Menepati ramalan, Catriona Gray, 24, dari Filipina dimahkotakan sebagai Miss Universe 2018.
Mengenakan gaun bertemakan gunung berapi, ratu cantik itu mengetepikan saingan hebat dari Venezuela dan Afrika Selatan di peringkat Top 3.
Menurut laporan awal, lima peserta yang sememangnya sudah dijangka berjaya melepasi peringkat Top 5 antaranya Puerto Rico, Vietnam, Filipina, Afrika Selatan dan Venezuela.
Edisi kali ini merupakan kemaraan kali pertama peserta dari Vietnam dan semestinya ini adalah pencapaian membanggakan kerana H' Hen Nie mara sehingga ke Top 5.
Kemaraan peserta dari Nepal, Manita Devkota yang berjaya sehingga ke peringkat Top 10 juga membuktikan hot picks bukanlah sesuatu yang boleh mempengaruhi keputusan juri.
Manita merupakan peserta kedua dari Nepal yang beraksi di pentas Miss Universe.
Catriona bersaing bersama 94 peserta dari seluruh dunia dan mula ‘berkampung’ di Bangkok, Thailand sejak November lalu.
Untuk rekod, kali terakhir Filipina memenangi gelaran Miss Universe adalah pada penganjuran tahun 2015 menerusi penyertaan Pia Wurtzbach.
Negara kepulauan di Asia Tenggara itu juga pernah membawa pulang mahkota kemenangan itu pada tahun 1969 (Gloria Diaz) dan pada 1973 (Margarita Moran).
Sementara itu, memetik Twitter Catriona, ibunya mengalirkan air mata apabila melihat impiannya tercapai.
"Ketika saya berusia 13 tahun, ibu berkata, 'saya mengimpikan awak akan menang Miss Universe dan menyarung gaun berwarna merah'.
"Apabila dia melihat saya berpakaian seperti ini dan menang, dia kata 'saya bermimpi!' dan terus menangis," katanya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.
Sehingga kini, laman mikro Twitter miliknya dibanjiri ucapan tahniah dari netizen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!