Kereta seludup warga asing macam 'tin sardin'

Anggota bomba menyelamatkan mangsa di lokasi kejadian di KM190 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan berhampiran Simpang Empat Semanggol, pagi tadi.
Anggota bomba menyelamatkan mangsa di lokasi kejadian di KM190 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan berhampiran Simpang Empat Semanggol, pagi tadi.
A
A
A

BAGAN SERAI - [DIKEMASKINI] Tiga warga Myanmar maut, manakala tujuh lagi cedera parah apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) memuatkan 15 penumpang terbabas dan melanggar penghadang lebuh raya di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Gunong Semanggol di sini pagi ini.

Lebih mengejutkan, kesemua mangsa warga Myanmar terbabit dalam kemalangan itu dipercayai cuba diseludup ke negara ini oleh sebuah sindiket ke selatan semenanjung.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, kejadian berlaku lebih kurang 7.34 pagi apabila kenderaan itu dari arah utara ke selatan dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

Menurutnya, kenderaan jenis Nissan X-trail dipercayai berkeadaan seperti 'tin sardin' apabila dipenuhi 15 penumpang warga Myanmar secara bersesak-sesak.

"Akibat kemalangan itu, tiga penumpang tercampak keluar dari kereta dan terjatuh di bawah jambatan lebuh raya berketinggian hampir lapan meter di Kampung Tebuk Panchor, Gunong Semanggol sebelum maut di tempat kejadian.

Keadaan kenderaan Nissan X-Trail dinaiki 15 warga Myanmar remuk teruk akibat kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Bagan Serai pagi tadi.
Keadaan kenderaan Nissan X-Trail dinaiki 15 warga Myanmar remuk teruk akibat kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Bagan Serai pagi tadi.

"Tujuh lagi penumpang mengalami kecederaan parah, manakala empat tambahan penumpang termasuk seorang wanita mengalami kecederaan ringan.

"Kesemua mereka tercedera dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut, manakala tiga mangsa lelaki maut dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat," katanya kepada media di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Zakaria berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat seorang warga Myanmar bertindak sebagai pemandu kereta itu, namun dipercayai melarikan diri selepas kemalangan berlaku.

Menurutnya, identiti dan umur kesemua mangsa kemalangan termasuk tiga maut tidak diketahui kerana tiada dokumen pengenalan diri.

"Kesemua mangsa kemalangan cedera ringan ditahan polis untuk siasatan lanjut, manakala mangsa cedera parah ditempatkan dalam wad khas.

"Kita tidak menolak kemungkinan kesemua mangsa warga Myanmar dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini ke selatan tanahair dari arah utara," katanya.

Zakaria berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!