Hanya 35 minit jika guna feri

Musa (tiga dari kiri) melawat tapak pameran selepas merasmikan sesi dialog bersama pemain industri pelancongan Malaysia-Singapura di Lotus Desaru Beach Resort and Spa kelmarin.
Musa (tiga dari kiri) melawat tapak pameran selepas merasmikan sesi dialog bersama pemain industri pelancongan Malaysia-Singapura di Lotus Desaru Beach Resort and Spa kelmarin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kemudahan feri di Tanjung Belungkor yang hanya mengambil masa setengah jam untuk pelancong dari Singapura ke Johor berbanding melalui Tambak Johor dilihat mampu meningkatkan kehadiran pengunjung terutamanya di Desaru.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, beliau dimaklumkan pengunjung dari negara jiran itu terpaksa mengambil masa tiga hingga empat jam hanya untuk merentasi sempadan melalui jalan darat ke negeri ini.

Menurutnya, sebaliknya dengan kemudahan feri di Terminal Feri Tanjung Belungkor yang masih ramai tidak tahu kewujudannya, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 35 minit dari Terminal Feri Changi.

"Kemudahan feri ini sekaligus dapat meningkatkan kemasukan pelancong ke Desaru yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan seperti hotel ternama dan kawasan pesisir pantai sepanjang 17 kilometer.

"Tambahan pula Desaru suatu ketika dahulu pada 1970-an sangat popular namun hilang begitu dan sekarang kembali terkenal bukan sahaja dengan industri minyak dan gas tetapi sebagai pantai pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir sesi dialog bersama pemain industri pelancongan Malaysia-Singapura di Lotus Desaru Beach Resort and Spa kelmarin.

Hadir sama Naib Pengerusi Kumpulan Lotus, Datuk Mohd Thajudeen Abd Wahab.

Musa berkata, menerusi sesi dialog bersama 80 pemain industri terutama ejen-ejen pelancongan itu diharapkan dapat mempromosikan produk pelancongan antara dua negara.

Artikel Berkaitan:

“Dalam dialog ini juga kita ingin tahu isu atau permasalahan yang boleh kita baiki untuk pemain industri pelancongan.

“Antara perkara yang kita boleh ambil perhatian adalah melihat kepada servis yang boleh dipertingkat dan ditambah baik seperti terminal feri dan bus shuttle,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!