Kertas konsultasi langkah terbaik PTPTN pastikan kelangsungannya

No Image Caption
A
A
A

SEPERTIMANA idea penghapusan tol sering dikaitkan dengan DAP, khususnya Setiausaha Publisitinya, Tony Pua, yang sejak Mac 2012 lagi telah menjuarainya, idea penghapusan PTPTN pula sering dikaitkan dengan PKR, khususnya Naib Presidennya, Rafizi Ramli, yang sejak April 2012 lagi telah menjuarainya.

Sebab itulah bila portal berita Malaysia Kini menyiarkan laporan bertajuk “PTPTN Mungkin Perkenal Semula Sekatan Ke Luar Negara” pada 16 Mei lalu, maka pihak yang paling lantang menentangnya adalah para pemimpin PKR.

Ia bermula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, yang menyebut beliau akan menyokong kehendak rakyat yang dirasakan tidak akan bersetuju dengan apa-apa tindakan yang agak keras terhadap peminjam PTPTN, terutamanya dalam kalangan mereka yang belum bekerja.

Ini diikuti oleh Syed Badli Shah Syed Osman, Naib Ketua AMK, yang menulis di laman Facebook beliau bahawa “rasanya dah sampai masa Pengerusi (PTPTN, Wan Saiful Wan Jan) ni disekat dari menjalankan tugas...”

Seterusnya adalah Dr Afif Bahardin, bekas Timbalan Ketua AMK yang kini Ahli MPP PKR yang menyebut “jika saudara Wan Saiful tidak mampu mempertahankan janji PH, adalah kena pada masanya beliau memikirkan posisi beliau di dalam PTPTN sebagai pengerusi badan tersebut.”

Begitu juga dengan Shahbudin Husin, blogger PKR, yang lebih lantang lagi dengan menulis “Wan Saiful tidak layak sama sekali menerajui PTPTN” dan “kalau beliau masih tidak sedar diri dan enggan berundur, ada baiknya beliau dipecat dan diganti saja dengan orang lain.”

Walhalnya, dalam sidang media Wan Saiful dan Timbalan KPE PTPTN, Mastura Mohd Khalid, apa yang disebut hanyalah sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan oleh PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran, tetapi kaedah ini dihentikan kerana ia menyebabkan kesulitan kerana mereka dihalang daripada meninggalkan negara di pintu keluar sempadan.

Wan Saiful pula sekadar memberitahu bahawa PTPTN sedang mengumpul maklum balas daripada orang awam berkenaan cadangan-cadangan yang diterimanya daripada perbincangan meja bulat dan percambahan idea bersama pelbagai kumpulan berkepentingan bermula Januari hingga Mac tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Kertas Konsultasi Rakyat Berkaitan Mekanisme Bayaran Balik PTPTN ini sebenarnya adalah satu langkah sangat terpuji yang diambil oleh Wan Saiful bagi mendapatkan maklum balas secara terbuka dan demokratik daripada para pemegang taruh dan seterusnya rakyat mengenai mekanisme bayaran balik PTPTN.

Sekatan perjalanan ke atas peminjam liat sebenarnya hanyalah satu juzuk kecil daripada Idea 6 yang dikemukakan oleh para pemegang taruh iaitu “Penguatkuasaan Yang Lebih Tegas Terhadap Mereka Yang Tidak Membayar Balik Dalam Tempoh Yang Lama”.

Hanya dengan membaca tajuknya sahaja maka akan difahami bahawa Idea 6 ini bukanlah ditujukan kepada kalangan peminjam yang “belum bekerja” seperti yang disebut oleh Datuk Seri Anwar, tetapi adalah kepada peminjam yang “tidak membayar balik dalam tempoh yang lama”.

Disebutkan secara jelas dalam Idea 6 bahawa “terbukti larangan perjalanan yang dikeluarkan oleh kerajaan pada 2018 adalah berkesan” tetapi, membayangkan ketidakselesaan pengurusan PTPTN sendiri ke atasnya, disebutkan sama bahawa “sekatan pada lokasi pelepasan sangat menyusahkan peminjam”.

Sebaliknya, apa yang disenaraikan dalam kertas konsultasi ini adalah 6 langkah penguatkuasaan baharu yang dipertimbangkan untuk diperkenalkan, iaitu:

1) Sekatan untuk pembaharuan passport

2) Sekatan untuk pembaharuan lesen memandu 3) Sekatan untuk pembaharuan dan pendaftaran lesen perniagaan

4) Sekatan untuk pembaharuan cukai jalan

5) Senarai peminjam culas dipamerkan kepada umum

6) Sekatan untuk kelulusan pinjaman PTPTN kepada ahli keluarga terdekat peminjam yang culas

Begitupun, kata Wan Saiful dalam sidang media itu, sekiranya rakyat melalui maklum balas dalam tinjauan atas talian laman PTPTN 'Konsultasi Rakyat' yang dibuka kepada umum mulai hari itu sehingga 13 Jun mahukan sekatan perjalanan dilaksanakan kembali maka PTPTN akan membawanya untuk pertimbangan kabinet.

Malangnya, tumpuan berlebihan kepada sekatan perjalanan setelah ia disensasikan oleh pihak media menyebabkan 9 idea lain hampir tidak dibicarakan langsung, iaitu:

1) Idea 1: Penangguhan Bayaran Balik Bagi Peminjam Berpendapatan RM2,000 Ke Bawah

2) Idea 2: Menangguhkan Pembayaran Balik Bagi Peminjam Berpendapatan Bawah RM4,000

3) Idea 3: Menggantikan Sistem Bayaran Balik Sedia Ada Kepada Skim Bayaran Balik Berasaskan Pendapatan Untuk Peminjam Baharu – Income Based Repayment (IBR)

4) Idea 4: Potongan Gaji Mandatori

5) Idea 5: Melaksanakan Penguatkuasaan Sepenuhnya

6) Idea 6: Melaksanakan Sistem Penjamin

7) Idea 7: Pemansuhan Pengecualian Bayaran Balik Graduan Kelas Pertama Atau Digantikan Dengan Pengecualian Separa

8) Idea 8: Mengurangkan Jumlah Pinjaman, Dan Secara Beransur-ansur Menamatkan Pinjaman Kepada Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) Dan Kursus Yang Berprestasi Rendah

9) Idea 9: Menaikkan Caj Ujrah 1% Kepada Peminjam Baharu

Dilihat kepada senarai 10 idea yang dikemukakan oleh para pemegang taruh dan yang seterusnya dibawa kepada pertimbangan rakyat, maka dapatlah disimpulkan bahawa pengurusan PTPTN, khususnya Wan Saiful sendiri, bersikap sangat matang dan terbuka dalam perkara ini dengan menyerahkan kepada rakyat sepenuhnya untuk membuat pertimbangan sebelum diputuskan oleh Kabinet.

Hakikat sebenar perkara ini jauh berbeza berbanding pelbagai dakwaan keras yang dilemparkan terhadap Wan Saiful seperti kononnya beliau ingat diri beliau lagi besar daripada kerajaan sebab buat keputusan bercanggah dengan kerajaan atau menjadikan PTPTN badan paling bangsat dalam negara.

Perlu diingat bahawa, selaku Pengerusi PTPTN, Wan Saiful berhadapan dengan tugas amat berat bagi memastikan kesinambungan kemudahan pinjaman pelajar akan datang dan tidak ada pelajar yang dinafikan pengajian ke peringkat tinggi akibat kekangan kewangan.

Isunya sekarang adalah pada masa ini PTPTN mengalami masalah kewangan dan berdepan dengan bebanan kewangan yang tinggi kerana ia menanggung hutang RM40 bilion, lebih besar daripada hutang 1MDB yang berjumlah sebanyak RM38 bilion.

Tidak seperti bank komersial lain, PTPTN mengenakan caj nominal 1% ujrah yang lebih rendah daripada kos dana iaitu sekitar 5% (sukuk dan pinjaman), dan sebagai pemberi pinjaman dengan prestasi kutipan bayaran balik yang rendah, adalah mustahil untuk PTPTN terus mendapat pinjaman.

Masalah utama yang dihadapi oleh PTPTN ialah mengenai peminjam culas, di mana lebih separuh peminjam tidak membayar balik, di mana 32% atau 616 ribu peminjam membayar balik secara tidak konsisten dan 19% atau 356 ribu peminjam tidak pernah membayar balik.

Jika tiada perubahan drastik dilakukan ke atas mekanisme bayaran balik PTPTN ini, akan wujud risiko yang tinggi sehingga menyebabkan pembiayaan pendidikan tidak dapat dilakukan sedangkan penerima manfaat daripada PTPTN ini adalah semua golongan rakyat, di mana peminjam Melayu adalah 59%, Cina 24%, India 9% dan Lain-Lain 8%.

Ada pengkritik yang menyarankan supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sendiri melihat perkara ini sedangkan jika mereka meneliti beberapa kenyataan beliau mengenai PTPTN, apa yang dibuat oleh pengurusan PTPTN sekarang adalah bertepatan dengan kehendak beliau sendiri.

Jika diimbas balik kenyataan Tun Dr Mahathir di UTM pada 20 September 2018, beliau terang-terang menyebut beliau malu dengan sikap tidak amanah peminjam PTPTN yang tidak mahu bayar pinjaman balik sehingga menjadi punca jumlah tunggakan hutang bayaran balik melambung tinggi.

Kenyataan Tun Dr Mahathir ini jelas menunjukkan betapa perlunya dibuat perubahan drastik ke atas mekanisme bayaran balik PTPTN bagi membolehkan jumlah tunggakan hutang bayaran balik berkurangan sekali gus menjadikan PTPTN berdaya saing.

Pengurusan PTPTN sedar bahawa pihak-pihak yang mempertikaikan kertas konsultasi ini mungkin pernah berjanji bahawa mereka akan menghapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma kepada seluruh golongan rakyat.

Jika kita lihat kembali kepada cadangan utama Rafizi pada April 2012, iaitu kerajaan boleh merangka satu akta yang mensyaratkan mengikut undang-undang bahawa peratusan tertentu dari hasil minyak perlu dimasukkan ke dalam tabung pelaburan pendidikan.

Kata Rafizi, setiap tahun, sejumlah RM2 bilion boleh diambil dari dana ini untuk membayar tanggungan hutang PTPTN yang diambil alih oleh kerajaan, dan jika ini dibuat, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, kita berjaya menghapuskan hutang PTPTN.

Selain itu, cadangan Rafizi juga adalah supaya 10 IPTA baru dibina dalam masa 10 tahun akan datang yang menyediakan 100,000 tempat baru di IPTA secara percuma yang pembiayaannya dikatakan lebih rendah daripada pemberian pinjaman melalui PTPTN.

Begitupun, bila ini tidak dapat dilakukan kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan maka sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sudah pastilah kelangsungan PTPTN perlu dipertahankan dan inilah yang sedang dibuat oleh pengurusan PTPTN sekarang.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan kertas konsultasi yang dikemukakan oleh PTPTN ini.

Dr Mashitah Mohd Udin, Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!