Kereta BMW 5 Series, motosikal terbakar dalam kemalangan

Pasukan penyelamat bomba sedang memadamkan kebakaran, di Lebuhraya Plus arah Utara semalam. -Foto ihsan bomba
Pasukan penyelamat bomba sedang memadamkan kebakaran, di Lebuhraya Plus arah Utara semalam. -Foto ihsan bomba
A
A
A

NILAI – Sebuah kereta BMW 5 Series dan motosikal musnah dalam kebakaran selepas terlibat kemalangan di Kilometer 251.9 Lebuhraya Plus arah Utara malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam kenderaan yang dinaiki empat beranak itu dalam perjalanan menuju ke Rawang untuk tujuan bercuti.

Menurut Ketua Operasi, Mohd Syazwan Saidy, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.51 malam dan sampai ke lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba ke lokasi mendapati sebuah kereta dan motosikal yang berada di bahagian bawah kereta itu sudah terbakar.

“Kita bertungkus-lumus memadamkan kebakaran kerana khuatir ada mangsa (pemandu motosikal) di bawah kereta.

“Namun setelah api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pasukan bomba cuba mencari jika ada mangsa namun tidak dijumpai, pencarian di sekitar kawasan juga tidak menemui mangsa,” katanya.

BMW 5Series dan motosikal LC musnah dalam kemalangan di Lebuhraya Plus arah Utara semalam. - Foto ihsan bomba
BMW 5Series dan motosikal LC musnah dalam kemalangan di Lebuhraya Plus arah Utara semalam. - Foto ihsan bomba

Katanya, hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak polis, mangsa rupanya telah dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mangsa, Mohd Yunous Amir Husin, merupakan warga Myanmar dilaporkan hanya mengalami cedera ringan.

“Kami dimaklumkan, sebaik sahaja berlaku kemalangan, mangsa terus menghubungi abang dan kawannya untuk dibawa ke hospital.

“Mereka telah meninggalkan motosikal di lebuh raya tersebut, dan tidak lama kemudian kereta BMW itu melalui kawasan tersebut lalu melanggar motosikal yang berada di atas jalan itu, berikutan keadaan jalan yang gelap,” katanya.

Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua kenderaan musnah 100 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan kesemua mangsa dalam kereta itu berjaya keluar menyelamatkan diri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!