Tempoh 10 tahun bukan mudah diterima rakyat
KOTA BHARU - Bukan mudah untuk rakyat menerima kenyataan bahawa kerajaan memerlukan sekurangnya 10 tahun untuk memulihkan situasi ekonomi negara, kata Ketua Pusat Pengajian Komunikasi Strategik, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Suhaimee Saahar.
Namun begitu, kenyataan Timbalan Presiden Pakatan Harapan(PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin itu perlu dilihat dalam pandangan yang berbeza kerana untuk mengembalikan keyakinan pelabur merupakan salah satu cabaran utama kerajaan PH kini.
"Naratif politik yang dimulakan sebelum ini telah mewujudkan sentimen kegusaran dalam kalangan pasaran. Dan ini memerlukan usaha yang agresif dan komprehensif dalam menyediakan satu kerangka atau model baharu ekonomi yang mampu mengembalikan keyakinan pelabur.
"Dalam pada itu, rakyat juga menanti sebarang pakej rangsangan ekonomi yang boleh membantu mereka terutamanya golongan B40 dan juga golongan muda yang sebelum ini terperangkap dengan fantasi politik mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, era sebagai pembangkang perlu diketepikan, malah wujud keresahan rakyat mengenai tahap kompetensi pemimpin-pemimpin dalam melaksanakan satu dasar baharu dan jelas.
Beliau berkata, tahap produktiviti juga perlu dipertingkatkan bukan sahaja dalam sektor penyampaian awam tetapi pelaksanaan di peringkat agensi dan kementerian.
"Kita akui, langkah kerajaan dalam memerangi budaya rasuah amat bertepatan dengan agenda utama kerajaan. Ini kerana untuk memastikan kelancaran dalam pelaksanaan dasar dan polisi dapat dilakukan dengan lebih cekap dan telus.
"Persoalan utama adakah rakyat sanggup menunggu sehingga 10 tahun dalam melihat usaha pembaharuan ini dilaksanakan? Atau rakyat perlu menilai kesungguhan kerajaan hari ini?
"Walaupun sudah ada beberapa 'blueprint' utama yang sedang dirangka dan akan dilaksanakan, namun keresahan dalam kalangan rakyat semakin ketara. Suara rakyat kali ini adalah amat penting dalam menilai tahap kemampuan dan prestasi kerajaan hari ini.
"Kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dilihat semakin mencabar dan ini perlu disokong melalui usaha-usaha pemulihan yang jelas dan tepat bagi memastikan rakyat tidak terleka sekali lagi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PH perlu masa lebih kurang 10 tahun baik pulih ekonomi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!