Taktik seludup mercun guna laluan tasik tumpas

Sebanyak 20 kotak berisi mercun yang ditemukan dalam kenderaan pacuan empat roda di tebing Tasik Ah Ning.
Sebanyak 20 kotak berisi mercun yang ditemukan dalam kenderaan pacuan empat roda di tebing Tasik Ah Ning.
A
A
A

KUALA NERANG - Taktik menggunakan laluan air melalui Tasik Ah Ning, Padang Sanai untuk menyeludup mercun bernilai RM70,000 ditumpaskan apabila barang terlarang itu dirampas daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda, di sini, semalam.

Ketua Polis daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, sindiket itu dipercayai cuba menyeludup mercun dan bunga api dari negara jiran dengan memilih tasik itu sebagai tempat pendaratan.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar 11 pagi itu, sepasukan polis yang melakukan rondaan dan risikan di sempadan mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di tebing tasik yang menjadi tempat pendaratan nelayan tempatan.

“Ketika menghampiri kenderaan tersebut, terdapat seorang lelaki berada di kerusi tempat duduk pemandu. Hasil pemeriksaan lanjut, ditemukan 20 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dan jenama dalam kenderaan itu,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Noh berkata, siasatan mendapati taktik itu merupakan modus operandi terbaharu penyeludup selepas gagal melepasi kawalan ketat pihak berkuasa di laluan darat.

Longgokan kotak mercun yang dirampas dalam serbuan di Tasik Ah Ning.
Longgokan kotak mercun yang dirampas dalam serbuan di Tasik Ah Ning.

“Penyeludup sanggup membina laluan darat bagi membolehkan kenderaan mereka masuk sehingga ke tebing tasik, semata-mata untuk mengangkut bahan terlarang itu,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mercun dan bunga api itu dipercayai dibawa masuk dari Sebayoi, Thailand menggunakan jalan air ke Tasik Ah Ning, sebelum diambil penyeludup untuk pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam operasi itu, turut diberkas seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang memandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi itu. Suspek turut menunjukkan satu longgokan kotak di atas tanah yang berada tiga meter daripada kereta itu,” katanya.

Noh berkata, kesemua 20 kotak mengandungi mercun dan bunga api termasuk 16 kotak yang dilonggokkan atas tanah dirampas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!