1MDB: Najib, Rosmah terima notis afidavit lucut hak
KUALA LUMPUR - Notis memfailkan afidavit lucut hak ke atas barang rampasan berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah diserah kepada 19 responden termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Notis Afidavit itu diserahkan kepada setiap responden oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman.
Dalam senarai tersebut, enam responden tersebut membabitkan enam buah syarikat iaitu Obyu Holding Sdn Bhd, Senijauhar Sdn Bhd, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih dan Rembulan Kembara Sdn Bhd.
Manakala individu perseorangan itu adalah termasuk Najib dan Rosmah.
Turut tersenarai dalam notis tersebut adalah anak bekas pemimpin negara itu iaitu, Nooryana Najwa, Norashman dan Riza Shahriz Abdul Aziz.
Notis diserahkan melalui serahan tangan, tampalan memo selain penyerahan kepada wakil syarikat.
Sementara itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia KPN Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chik ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara tersebut.
"Penyerahan notis ini dibuat pada minggu lalu sebelum tindakan perbicaraan seterusnya di mahkamah," katanya.
Pada 28 Mac lalu, notis usul memfailkan afidavit lucut hak ke atas tujuh akaun bank milik bapa Low Taek Jho atau Jho Low, Low Hock Peng telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sebanyak tiga akaun RHB Bank dan empat akaun Maybank milik Hock Peng berjumlah RM48 juta dipohon dilucuthakkan menerusi Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!