4,342 kasut, selipar tiruan guna jenama terkenal disita

Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas kasut dan selipar disyaki tiruan dalam satu serbuan Jumaat lalu.
Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas kasut dan selipar disyaki tiruan dalam satu serbuan Jumaat lalu.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 4,342 unit kasut dan selipar jenama Adidas dan Nike disyaki tiruan dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Menglembu, Jumaat lalu.

Pemeriksaan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak sekitar jam 11 pagi itu turut menahan tujuh wanita tempatan yang mengaku sebagai pekerja dan seorang pengurus premis berusia 40 tahun.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Khalid Tik berkata, rampasan adalah melibatkan 60 unit kasut dan 2,072 selipar jenama Adidas serta 2,210 selipar jenama Nike.

"Kesemua barang sitaan dianggarkan RM14,070 ini disimpan di stor ekshibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut sementara mereka yang ditahan diambil keterangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis yang beroperasi sejak empat tahun itu menjual kasut dan selipar secara borong kepada pelanggan sekitar Perak.

"Bekalan diperolehi daripada pembekal China dan Kuala Lumpur, ia dijual secara borong dengan harga lingkungan RM4 hingga RM8 bagi selipar dan RM20 hingga RM30 bagi kasut mengikut jenama dan jenis," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

Katanya, KPDNHEP memandang serius terhadap peniaga-peniaga yang menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan-barangan berjenama yang melanggar Undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Artikel Berkaitan:

"Selain menjaga hak pengguna, kementerian turut memandang serius dalam melindungi hak-hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan barang-barang tiruan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!