Perpustakaan komuniti di Taman Nusantara
GELANG PATAH - Taman Nusantara di sini, bakal memiliki sebuah perpustakaan komuniti tidak lama lagi.
Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, lokasi strategik untuk membina kemudahan itu di perumahan berkenaan juga telah dikenal pasti.
"Saya baru mendapat maklumat daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) setelah membaca proposal tentangnya.
"Sebelum ini, mereka (PPAJ) telah wujudkan perpustakaan komuniti di dua DUN lain di negeri ini dan kali ini DUN Kota Iskandar telah dipilih untuk membina kemudahan itu.
"Berdasarkan kaji selidik, kali ini mereka telah mengenal pasti lokasi di Taman Nusantara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Program Masak Bubur Lambuk dan Penyampaian Sumbangan kepada Asnaf di Taman Nusantara, di sini hari ini.
Dzulkefly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar berkata, pemilihan lokasi pembinaan kemudahan tersebut di Taman Nusantara juga amat bersesuaian berdasarkan kepadatan penduduk di situ.
"Kebetulan Taman Nusantara ini merupakan taman yang baharu dan mempunyai bilangan penduduk yang ramai terutamanya murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.
"Maka, ini akan memberi peluang kepada mereka (murid sekolah) dan kawasan berdekatan memanfaatkan kemudahan perpustakaan komuniti itu nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!