'10 tahun terlalu lama, 1 penggal cukuplah'
JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tempoh masa 10 tahun bagi kerajaan PH membaikpulih ekonomi negara adalah terlalu lama.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut merasakan perkara tersebut sebagai sangat tidak wajar.
"Perkara ini bukan sahaja soal pengurusan ekonomi. Tapi soal bagaimana mengurus kepelbagaian dalam negara ini berasaskan kepada sejarah dan sebagainya.
"Jadi ia bukan sahaja soal pengurusan ekonomi, ia banyak," katanya ketika ditemui di Masjid Dato' Haji Abdul Rahim Yunus, Kampung Melayu Pandan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kerajaan PH mensasarkan sekurang-kurangnya 10 tahun tempoh masa bagi membaik pulih ekonomi negara.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan sebelum ini, sentiasa mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat walaupun menerima kritikan dan tuduhan yang pelbagai.
"Kalau kita masih ingat, BN (di bawah pimpinan) Datuk Seri Mohd Najib Razak pernah memperkenalkan 'ekonomi keperluan rakyat'.
"Kita tidak hanya melihat kepada soal angka-angka pertumbuhan ekonomi. Perkara ini pun menjadi asas masa saya mentadbir negeri," katanya.
Menurutnya, pentadbiran kerajaan sebelum ini lebih mementingkan soal membawa kesejahteraan kepada rakyat dan bukannya membina bangunan pencakar langit.
"Kerajaan sebelum ini juga menekankan kepada usaha melakukan ikhtiar dan intervensi demi membawa kesejahteraan kepada rakyat.
"Jadi ia bukan sahaja soal nak mengurus ekonomi. Pada saya 10 tahun terlalu lama, rakyat berhak untuk memikirkan kalau dia rasakan bahawa setahun dua tahun (adalah) cukup. Satu penggal cukup, cukuplah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!