Felda nafi dakwaan peneroka berisiko kehilangan hak ke atas tanah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Felda hari ini menafikan laporan sebuah akhbar tempatan yang antara lain mendakwa peneroka tanah rancangan berkenaan berisiko kehilangan hak ke atas tanah mereka, sambil menyifatkan dapatan disuarakan dalam artikel berkenaan sebagai tidak tepat.

Ketua Unit Pewarisan, Jabatan Pengurusan Tanah Felda, Mohd Yassin Mohd Yusof berkata, kajian yang hanya membabitkan 130 responden di Felda Bukit Tangga, Kedah itu tidak menggambarkan situasi sebenar.

Ini memandangkan jumlah peneroka di seluruh negara adalah seramai 112,635 orang, manakala jumlah keseluruhan warga Felda termasuk generasi baharu dalam lingkungan 2.5 juta, katanya.

"Sehubungan itu, kajian ini tidak boleh dijadikan bahan rujukan untuk memperkenalkan apa-apa dasar baharu yang akan merugikan semua pihak dalam institusi ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Khamis lalu, akhbar berbahasa Melayu itu yang memetik kajian Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Prof Madya Dr Rohayu Abdul Majid mendakwa wujud sekatan perundangan yang menghalang sebarang pindah milik tanah terbabit kepada generasi kedua. Ini, menurut Rohayu seperti dilapor akhbar berkenaan, berlaku kerana tanah rancangan tersebut tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok 1967, sekali gus menyebabkan statusnya berbeza dengan tanah biasa di bawah Kanun Tanah Negara.

Mohd Yassin menjelaskan Felda bersama-sama peneroka dan pejabat tanah negeri sentiasa bekerjasama sejak awal sepertimana termaktub dalam Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dalam menangani isu pewarisan dan pemilikan tanah secara holistik.

Tegasnya, pihak pengkaji sepatutnya merujuk kepada pihak pengurusan ibu pejabat Felda bagi memahami isi kandungan akta tersebut terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan dalam kajiannya yang boleh mengundang polemik dalam kalangan warga Felda berhubung isu pewarisan tanah.

Katanya,Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 menyatakan tanah peneroka boleh dipindah milik, dijadikan gadaian dan sewaan, tetapi hanya nama dua orang boleh didaftarkan dalam sesuatu hak milik tersebut supaya tanah tidak dibelah bahagi secara fizikal seterusnya merugikan dari segi ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, akta berkenaan menyatakan bahawa tanah peneroka tidak boleh dipecah sempadan, dipajak dan sub-pajak sebahagian atau keseluruhannya.

Menjelaskan mengenai halangan jual beli tanah, Mohd Yassin berkata, Felda tidak membenarkan urusan berkenaan kerana wujud syarat tertentu, dan pemiliknya mesti dipastikan bahawa mereka seorang warganegara, berusia 18 tahun ke atas, tidak memiliki tanah pertanian melebihi 0.80 hektar (dua ekar) dan tanah rumah satu lot.

Katanya, tanah peneroka juga boleh diambil balik kerajaan antara lain bagi pembangunan bandar baharu, lebuh raya dan projek Laluan Rel Pantai Timur di bawah Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 dengan bayaran pampasan akan dibuat kepada penama didaftar sebagai pentadbir tanah atau setiap waris yang berhak. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!