Agenda undi pada usia 18 tahun
TINDAKAN seorang belia berusia 16 tahun di Sarawak membunuh diri kerana tekanan perasaan menimbulkan satu tanda tanya penting. Sebanyak 69 peratus rakan Instagramnya menyokong beliau membunuh diri.
Apakah yang sedang berlaku kepada masyarakat kita hari ini terutamanya anak muda? Suatu ketika dahulu anak muda kita dipenuhi pelbagai aktiviti riadah dan kenegaraan daripada program Rakan Muda, sukan komuniti, aktiviti persatuan belia dan gerakan badan uniform begitu popular sama ada di sekolah atau peringkat universiti.
Hari ini dengan kehadiran media sosial dan internet, belia sudah berubah kepada suasana persekitaran permainan komputer, e-sport dan terbaru polemik politik keterlaluan yang tidak berkesudahan.
Permainan komputer dan e-sport tidak seperti sukan fizikal atau aktiviti riadah luaran. Mereka yang dalam aktiviti permainan komputer ini cenderung mengasingkan diri daripada persekitaran luar dan kemahuan untuk menguasai sesuatu permainan dalam talian ini memberi tekanan mental yang tidak sihat kepada anak muda.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah pun mengiktiraf kewujudan masalah kesihatan mental yang namakan gaming disorder.
Walaupun bukan semua mereka yang aktif dengan permainan dalam talian berhadapan masalah kesihatan mental, namun peluang mendapatkannya sangat tinggi berbanding sukan konvensional.
Belia di Malaysia juga berhadapan tekanan perasaan membabitkan persekitaran hari ini yang 'menuntut' persaingan gaya hidup rakan sebaya dan penggunaan gajet elektronik yang keterlaluan.
Jika belia dahulu berhadapan cabaran persekitaran soal asas kehidupan seperti pekerjaan, kemiskinan dan pendidikan yang boleh dibantu kerajaan dan masyarakat, belia hari ini tenggelam dalam cabaran teknologi, lambakan informasi dan gaya hidup di luar kemampuan tanpa persediaan mental yang secukupnya.
Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia Malaysia pernah terfikir untuk membunuh diri.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kajian sama menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan tekanan perasaan.
Pilih kerajaan
Walaupun menyedari masalah belia di negara ini, Syed Saddiq adalah antara orang terkehadapan mahukan had umur pengundi diturunkan dari usia 21 tahun kepada 18 tahun.
Tidak cukup tekanan persekitaran hidup komuniti belia yang mencabar berbanding kematangan mental, kerajaan cuba memberi satu lagi tanggungjawab berat kepada belia iaitu memilih kerajaan.
Memang benar banyak negara menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Ada juga yang menurunkan kepada usia 16 tahun. Namun apakah ia membawa apa-apa perubahan lebih baik kepada negara-negara terbabit?
Adakah wajar kerana negara-negara di dunia menurunkan had umur pengundi maka kita pun perlu mengikut trend ini supaya boleh mendabik dada sebagai negara demokrasi yang matang?
Demokrasi memerlukan pengundi yang matang, berpengetahuan mengenai pentadbiran dan ekonomi negara. Namun kebanyakan ahli politik yang berpaksikan aliran populis mahukan umur pengundi diturunkan. Ini memudahkan mereka memanipulasi persepsi dan pemikiran pengundi.
Apakah belia kita pada usia 18 tahun sudah mampu memahami persekitaran politik, ekonomi, kepentingan agama dan matang dalam membuat keputusan?
Tidak dinafikan ada belia kita semuda 16 hingga 21 tahun yang memahami senario politik dan mempunyai kemampuan berfikir melangkaui kematangan kumpulan umur lebih dewasa. Namun ini segelintir daripada jutaan belia yang akan membuat keputusan berdasarkan persepsi dan ikutan puak, gaya dan janji yang disukai.
Bahaya jika ada pihak menang melalui janji populis dan manipulasi maklumat di depan mata. Mereka yang keluar universiti pun mampu dikelirukan dengan janji tidak masuk akal seperti menghapuskan pinjaman pendidikan berpuluh bilion ringgit dan penghapusan tol membabitkan kos beratus bilion ringgit.
Bayangkan keadaan selepas ini apabila wadah demokrasi ini diluaskan kepada mereka yang baru lulus Sijil Pelajaran Malaysia. Apakah perlu kita menambah lompang kelemahan demokrasi ini? Apakah mereka yang berumur di bawah 18 hingga 21 tahun ini mahu hak ini atau ia hanya nafsu ahli politik mengejar populariti semata-mata?
Daripada berusaha menang pilihan raya atau mempertahankan jawatan melalui kaedah menurunkan had umur, adalah lebih baik ahli politik Malaysia bekerja keras meyakinkan rakyat yang telah matang dan berpengetahuan bahawa mereka mampu menguruskan negara dengan baik.
*Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!