Abim Perak alu-alukan sumbangan orang ramai
IPOH - Orang ramai dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan wang termasuk wang barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak dan lain-lain dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.
Yang Di-Pertua (YDP) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Perak, Mohamad Hafez Ardhi@Ardzi berkata, golongan seperti asnaf, fakir, miskin serta saudara baharu (mualaf) sangat memerlukan bantuan sedemikian terutamanya ketika bulan Ramadan ketika ini.
Justeru menurutnya, pihak Abim Perak mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) bagi menyalurkan bantuan kepada golongan berkenaan.
“Tahun 2019 adalah tahun ketiga belas Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) ini digerakkan melalui program ziarah dan penyampaian sumbangan kepada keluarga miskin, warga emas selain rumah anak-anak yatim dan rumah orang tua.
“Saban tahun kita anjurkan KSSB sempena Ramadan dan projek yang telah diinisiatifkan sejak tahun 2006 ini wujud untuk meringankan bebanan khususnya kepada mereka yang sangat memerlukan seperti golongan asnaf, fakir, miskin serta mualaf.
“Secara keseluruhannya, program ini adalah salah satu agenda yang turut digerakkan ke seluruh negara oleh ABIM negeri dan daerah-daerah,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada program berkenaan Abim Perak bersama 53 sukarelawan telah pergi ke Pengkalan Hulu 18 Mei lalu bagi menjayakan program Semurni Kasih Ramadan, Pengkalan Hulu dengan menghantar bantuan kepada golongan asnaf selain bekerjasama dengan beberapa kampung menerusi program gotong royong bagi majlis berbuka puasa bersama masyarakat.
Difahamkan pada 2018, sumbangan tunai bagi projek KSSB adalah sebanyak RM5,000 dan sumbangan berkenaan telah diagihkan kepada 200 buah keluarga yang memerlukan.
Sementara itu Mohamad Hafez berharap agar orang ramai dapat sama-sama membantu menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Katanya, kesemua sumbangan berkenaan boleh disalurkan kepada pihak sekretariat ABIM Perak di Meru selain sumbangan wang tunai boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad (Abim) 08095010004458.
“Orang ramai diharap agar bersama-sama menghulurkan sumbangan dan berinfak melalui kempen ini agar lebih ramai lagi dapat dibantu, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!