Ingatkan keluar Umno, rupa-rupanya...
KUALA LUMPUR - Membaca satu demi satu perkataan dalam ciapan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebentar tadi, pasti ramai menyimpulkan beliau juga mahu ikut sama tinggalkan Umno.
“Saya dan keluarga setelah berfikir panjang dan menimbangkan dari semua sudut, terutamanya perkembangan semasa dan terkini, dengan ini membuat keputusan KELUAR...” begitulah ciapnya.
Terkejut, terkesima bahkan hairan kerana beliau yang juga merupakan Setiausaha Agung Umno sebelum ini berulang kali melaungkan kesetiaannya kepada Umno namun mengapa kali ini beralih rentaknya.
Selepas dibaca sepenuhnya ciapan beliau, pastinya dari terkejut ia bertukar kepada senyuman pahit, mungkin juga ada ketawa kecil dan bermonolog di dalam hati “terkena aku kali ini”.
“Saya dan keluarga setelah berfikir panjang dan menimbangkan dari semua sudut, terutamanya perkembangan semasa dan terkini dengan ini membuat keputusan KELUAR DARI TERUS MENYOKONG MU (Manchester United).
“Keputusan dibuat dengan rela kerana hilang keyakinan dengan pembimbing pasukan yang nyata tiada hala tuju,” ciapnya diakhiri emoji ketawa.
Beliau memuat naik kata-kata tersebut selepas Liverpool membenam cabaran Manchester United tengah malam semalam dengan mencatatkan kemenangan 3-1.
Namun, jika diamati beberapa perkataan dari ciapannya seperti ‘hilang keyakinan’ dan ‘tiada hala tuju’, bolehlah dianggap ia merupakan sindiran tajam kepada bekas Ahli Parlimen Umno yang melompat parti.
Malah, dalam ciap balasnya kepada salah seorang pengguna Twitter, beliau menyatakan yang kini beliau ‘Bebas dulu’.
Melihatkan jawapan sebegitu, maka bolehlah dikatakan yang sebenarnya Annuar memang ‘troll’ ahli Umno yang umumkan keluar parti.
“Ha ha...Chelsea tak mainlah... sekarang BEBAS DULU!!...HARIMAU MALAYA JE,” tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!