Zahid diminta terus bercuti, lepaskan jawatan
JOHOR BAHRU - UMNO Tebrau meminta Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus bercuti atau melepaskan jawatan demi kepentingan parti.
Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang berkata, parti itu kini lebih diyakini rakyat di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Hassan.
"UMNO dilihat stabil dan mula kembali mendapat keyakinan masyarakat khususnya orang Melayu di bawah kepimpinan Tok Mat Hassan yang dilihat lebih diyakini dan bersih di mata masyarakat.
"Zahid perlu terus bercuti atau berhenti. Berhentilah acah acah nak balik (sebagai Presiden UMNO) kerana ia tidak baik untuk parti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid pada 18 Disember lalu mengumumkan bercuti daripada jawatan tersebut dan menyerahkan tugas kepada timbalannya, Mohamad susulan sedang berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah
Menurut Maulizan, terdapat gerakan membawa Ahmad Zahid mengambil semula kerusi presiden parti malah perkara itu turut disuarakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sendiri melalui laporan sebuah akhbar tempatan, baru-baru ini.
"Gerakan ini dibawa penyokong Ahmad Zahid dan bunga-bunga ke arah itu juga telah dinyatakan oleh beliau sendiri dalam rencana akhbar baru-baru ini.
"Tindakan Zahid dan penyokong rapat beliau bukanlah sesuatu yang baik untuk UMNO bangkit dan bergerak ke hadapan.
"Memang benar Zahid dipilih secara demokrasi tetapi apa yang berlaku selepas pemilihan tidak membolehkan beliau terus menjadi pemimpin UMNO yang berkesan," katanya.
Menurutnya, bukan kerja mudah untuk mewujudkan persepsi UMNO telah berubah sekiranya Ahmad Zahid masih mahu kembali sebagai presiden parti.
"Memang belum semua penyokong UMNO balik menyokong parti ini kerana masih ada golongan yang menganggap UMNO belum benar-benar berubah kerana masih mendokong pemimpin yang dituduh dengan pelbagai tuduhan salahguna kuasa dan rasuah.
"Namun begitu bukan mudah juga untuk mewujudkan persepsi bahawa UMNO sebenarnya dah berubah kerana sikap acah acah Zahid yang tidak memberi keuntungan kepada UMNO," katanya.
Tambahnya, bukan hanya golongan B40, parti itu juga perlu mengambil hati golongan pertengahan, profesional dan atasan.
"UMNO telah sedikit sebanyak berjaya menarik sokongan golongan B40 terutamanya masyarakat Melayu kerana merekalah golongan yang terkesan dengan masalah ekonomi. Janji tak tertunai juga membantu hilangnya sedikit keyakinan mereka terhadap kerajaan.
"UMNO juga perlu mengambil hati golongan pertengahan, profesional dan atasan yang bukan hanya melihat perkara tersebut tetapi mereka juga mahukan pemimpin UMNO yang memiliki latar belakang meyakinkan, sejarah kepimpinan yang dilihat tidak terlalu mengamalkan kronisme serta tidak mengamalkan politik wang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!