30 fakir miskin Kampung Opah Kabai terima sumbangan Ramadan
KEMBOJA - Seramai 30 fakir miskin termasuk ibu tunggal dan saudara baharu di Kampung Opah Kabai menerima bantuan sempena Ramadan.
Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican.
Menurut Mustapha, bantuan yang terdiri daripada keperluan harian seperti beras dan gula dapat membantu mereka yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
“Alhamdulillah pada bulan yang mulia ini sekali lagi saya datang untuk menyampaikan bantuan kepada 30 fakir miskin yang terdiri daripada ibu tunggal, saudara baharu dan fakir miskin.
“Sebelum ini, saya pernah datang ke Kampung Opah Kabai untuk membina perigi bagi kegunaan masyarakat di sini,” katanya ketika menyampaikan bantuan fakir miskin sempena Ramadan di sini.
Mustapha berkata, Kampung Opah Kabai tidak mempunyai ramai penduduk hanya kira-kira 239 penduduk sahaja dan 130 daripadanya adalah Islam.
Tambahnya, rata-rata penduduk di Kampung Opah Kabai adalah petani yang miskin dan mereka menanam pelbagai jenis tanaman memandangkan kawasan kampung ini agak panas dan kurang taburan hujan setiap tahun.
“Kebanyakan mereka bercucuk tanam untuk jangka masa panjang dan jangka masa pendek bergantung kepada keadaan tanah.
“Ada juga yang buat tanaman untuk hasil yang cepat seperti sayur-sayuran, manakala untuk tanah yang kering mereka menanam buah gajus dan kelapa yang memerlukan jangka masa panjang untuk dituai,” katanya.
Dalam masa sama, Mustapha berkata, Kampung Opah Kabai terletak jauh di pedalaman Kemboja dan dikelilingi bukit berpasir serta tidak banyak mempunyai banyak pokok.
Katanya, jalan untuk masuk ke kawasan kampung ini juga masih bertanah merah dan sempit serta tidak mempunyai kemudahan asas seperti kemudahan talian telefon dan elektrik.
“Bukan senang untuk sampai ke kampung ini. Perjalanan dari pusat bandar Phnom Penh memerlukan kira-kira 5 jam 30 minit untuk sampai dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda atau perlu menunggang motosikal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!