Why Leong gagal dihubungi selepas dibebaskan
KUANTAN - DAP Pahang mendakwa gagal menghubungi Pengerusi DAP Jerantut, Loo Why Leong selepas dibebaskan daripada tahanan polis, sejak petang semalam.
Setiausahanya, Lee Chin Chen berkata, Why Leong menafikan salah laku yang dikaitkan dengan dirinya.
Menurutnya, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan terhadap isu tersebut.
“Biar polis menjalankan tugas mereka (siasatan). Kami tidak dapat menghubunginya dari petang semalam hingga kini.
“Tapi mengikut kenyataan Why Leong sebelum ini, dia menafikan tuduhan terlibat mengancam ketua polis daerah Jerantut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Why Leong ditahan berhubung kes ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan.
Penahanan pemimpin itu disahkan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad selepas dipanggil memberi keterangan.
Menurutnya, pemimpin DAP itu ditahan untuk siasatan berhubung ugutan terhadap Mazlan menerusi aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.
Difahamkan Mazlan membuat laporan polis terhadap Why Leong Jumaat lalu selepas menerima mesej berbaur ugutan dipercayai berpunca daripada operasi pegawai dan polis terhadap penjualan minuman keras tanpa lesen di daerah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!