Jumlah sisa pepejal meningkat 30 peratus di Kedah

Ir Mohamad Shaiful
Ir Mohamad Shaiful
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah janaan sisa pepejal di Kedah meningkat kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding hari biasa sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman), Ir Mohamad Shaiful Anuar Zainal berkata, pihaknya mendapati jumlah sisa pepejal meningkat daripada 1,500 tan sehari kepada 1,900 tan sehari pada musim perayaan.

Beliau berkata, susulan itu, E-Idaman mempertingkatkan operasi pembersihan dengan mengambil inisiatif menambah bilangan kenderaan sebanyak 20 unit menjadikan jumlah keseluruhan 455 unit di negeri ini.

"Malah, kita turut bersiap sedia dengan kakitangan demi memastikan keadaan kebersihan di Kedah pada musim perayaan dalam keadaan bersih dan terjaga, " katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas tindakan E-Idaman susulan jumlah janaan sisa pepejal dan tindakan diambil demi mengatasi longgokan sampah menjelang musim perayaan di Jeti Kuala Kedah, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga akan melakukan operasi pada malam raya hingga seminggu selepas Aidilfitri demi memastikan tahap kebersihan pada musim perayaan dalam keadaan baik.

Beliau berkata, masyarakat diharapkan tidak melakukan pembaziran makanan, sekaligus melakukan pengasingan sisa pepejal dengan kaedah yang betul.

Katanya, pihaknya turut menyeru orang ramai supaya membudayakan amalan kebersihan dengan membuang sampah baki mengikut kaedah betul dan melakukan kitar semula demi mengurangkan pelupusan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!