Empat diserbu polis ketika leka bungkus dadah

Rekod lampau menunjukkan keempat-empat suspek mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah.
Rekod lampau menunjukkan keempat-empat suspek mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah.
A
A
A

ALOR SETAR - Empat lelaki berusia 34 hingga 46 tahun ditahan ketika sedang leka membungkus dadah jenis heroin serta syabu seberat 31.35 gram yang bernilai kira-kira RM1,200 dalam serbuan polis di sebuah rumah di Pendang pada jam 2.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, semasa serbuan dibuat terdapat empat lelaki yang sedang duduk di atas lantai di bilik sebelah dapur dalam rumah tersebut.

Menurutnya, polis menahan keempat-empat lelaki tersebut dan membuat pemeriksaan pada tubuh badan mereka.

"Selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, kami mendapati di atas lantai tempat keempat-empat lelaki itu duduk ada sembilan paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 26.75 gram dan lapan paket plastik lutsinar berisi serbuk hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 4.60 gram, sebilah gunting besi, satu alat penimbang digital, 10 paket plastik lutsinar kosong dan satu botol kaca yang telah diubahsuai menjadi alat untuk menghisap dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, semua suspek didapati positif dadah dan semakan rekod lampau juga mendapati keempat-empat mereka juga memiliki rekod berkaitan dadah.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!