Polis Jeli patahkan cubaan seludup ketum
JELI - [DIKEMASKINI] Polis Jeli berjaya mematahkan cubaan menyeludup ketum ke negeri ini susulan penahanan dua lelaki di Kampung Salor, Batu Melintang di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi ditahan sepasukan anggota selepas didapati memandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 1.30 petang itu.
"Hasil pemeriksaan dijalankan, anggota menemui 43 bungkusan plastik hitam mengandungi 2,133 balutan plastik lut sinar berikat getah berisi daun hijau dipercayai ketum.
"Pemeriksaan lanjut terus dijalankan sebelum anggota menemui bungkusan plastik cerah berisi cecair keperangan disyaki air ketum," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, polis turut menemui sebotol plastik cerah berisi cecair kehitaman disyaki ubat batuk
"Kesemua nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM13,000 yang melibat 430kg ketum.
"Ketum-ketum ini dipercayai dibawa masuk dari Kedah untuk pasaran Machang," katanya.
Ahmad berkata, suspek berusia lingkungan 21 hingga 30-an yang berasal dari Machang itu ditahan reman empat hari sehingga 22 Mei ini bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!