Tulis novel bukan macam buat cekodok!
1 SEKALI sekala saya akan bertemu dengan novelis yang berselisih pandangan dengan editornya. Biasalah, bila novelis mengarang, dia rasa tulisannya itulah yang paling baik. Tetapi bila sampai ke tangan editor, berlaku sebaliknya.
2 Karya yang dirasakan elok itu dikatakan oleh editor sebagai karya yang tidak menarik, separuh masak mahupun stereotaip. Bila karya yang dirasakan best oleh penulisnya dinilai sebagai tidak bagus oleh editornya, maka mulalah timbul persepsi negatif novelis terhadap editor.
3 Perkara ini timbul lebih-lebih lagi apabila karya novelis sebelum ini mendapat sambutan yang amat baik daripada pembaca. Barangkali dalam masa sebulan ia terbit, cetakan kedua sudah ditempah kerana kehabisan stok. Bila novel sebelum itu mendapat sambutan baik, bagaimana novel yang berikut ini dinilai sebagai kurang baik oleh editornya?
4 Itulah yang selalu bermain di hati novelis. Rasa geram terhadap editor memang bercampur baur. Hati yang jahat selalu menuduh yang editor ini saja-saja dengki. Terasa seolah-olah editor tu hendak sekat periuk nasi dia.
5 "Dah bertahun aku tulis cerita ni. Dah berpuluh kali aku edit. Ada ke patut editor kata cerita aku tak menarik! Novel aku sebelum ini meletup-letup dan sold-out. Mana mungkin karya aku yang ini dikatakan ala-ala?"
6 Benarkah apabila sesebuah karya itu mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh para peminat, bagi yang sudah punyai karya meletup-letup, dia mula rasa karyanya yang berikutnya mesti bestseller juga? Mana mungkin novel berikutnya tak menarik?
7 Heloooo... Menulis novel bukan macam buat cekodok. Kalau seseorang pandai buat cekodok yang sedap, yang garing di luar, lembut di dalam... esok dia buat lagi cekodok... dia ramas pisang dan uli bersama tepung dalam sukatan yang sama juga.
8 Minggu depan, bulan depan, tahun depan, ramuannya tetap sama. So, cekodok bulan lepas dan tahun depan sama aje rasanya. Mestilah cekodoknya sedap sebab resipi dan cara membuatnya serupa.
9 Tapi menulis novel tak sama. Novel pertama menarik sebab tema cinta tiga segi sampai meletup-letup hingga orang beratur nak beli. Tapi novel kedua tak menarik sebab tema cinta lapan segi! Jadi, kalau novel pertama laku, novel kedua tak semestinya laku sebab formula dan jalan ceritanya berbeza. Tak sama macam resipi buat cekodok!
10 Jangan salahkan editor. Mereka tak ada masa nak dengki dengan kita. Mereka kena edit banyak lagi buku lain oleh novelis lain. Kitalah yang kena betul-betul jujur pada diri sendiri. Yang penting, akui kelemahan diri.
11 Kalau editor kata novel kita tak sedap, terimalah dengan dada terbuka sebab editorlah pembaca rasmi pertama novel kita. Kalau kita lepas daripada saringan dia, novel kita ada peluang laris di pasaran!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!