Fikry Ibrahim tidak lupakan dunia komedi
MESKIPUN bakatnya dicungkil daripada bidang komedi menerusi program Lawak Solo (2016) terbitan Astro, siapa sangka nama Fikry Ibrahim kini lebih dikenali dan menonjol dalam bidang lakonan.
Bukan sebagai pelakon komedi, tetapi anak kelahiran Jitra, Kedah ini diberi kepercayaan menjayakan watak-watak serius dan diangkat sebagai teraju utama atau hero untuk beberapa buah drama popular.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 25, ini mengakui tidak pernah berhasrat meninggalkan bidang komedi meskipun dia kini lebih dikenali sebagai hero drama.
“Saya sendiri pun tidak pernah menyangka lebih menonjol atau banyak dapat peluang menjayakan drama serius berbanding program komedi sehinggakan ada yang lupa saya ni sebenarnya lahir dariprogram Lawak Solo.
“Memang saya akui tidak banyak terlibat dengan program komedi kerana kebetulan tawaran yang datang lebih banyak dari bidang lakonan, terutamanya drama dan telefilem menyebabkan peminat lebih banyak nampak saya di situ.
“Bagaimanapun, itu bukan bererti saya melupakan bidang komedi, malah saya nak buat sangat dan mahu terlibat secara aktif dalam bidang ini. Cuma mungkin kadang-kadang masa tak mengizinkan di mana ada tawaran yang datang selalunya pada waktu saya terikat dengan komitmen lain,” ujar Fikry.
Berkongsi perkembangan terbaharunya, kata Fikry, dia kini sibuk di lokasi penggambaran drama 28 episod, Kau Yang Pertama bersama gandingan Farah Nabilah yang bakal disiarkan di slot Akasia akan datang.
“Ini merupakan gandingan kali kedua saya dan Farah Nabilah menjadikan kerjasama lebih mudah kerana kami sudah ada chemistry. Berbanding dengan drama pertama gandingan kami, Cik Reen, Encik Ngok Ngek, kali ini karakter saya dan Farah begitu berbeza dan tidak pernah dibawa sebelum ini.
“Sepanjang Ramadan ini memang kami berada di lokasi drama ini untuk menyelesaikan penggambaran secepat yang boleh sebelum siarannya yang dijangka pada Ogos depan,” katanya.
Persiapan raya untuk adik-adik
Dalam pada itu, Fikry yang ditemui di majlis Pelancaran Program Raya Astro yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, pada Jumaat, turut berkongsi kesibukannya berniaga sepanjang Ramadan kali ini.
“Idea untuk berniaga ni datang selepas saya dilantik sebagai dalah seorang duta Primavalet. Saya fikir kenapa tidak saya guna peluang untuk lakukan sesuatu hasil daripada kerjasama ini iaitu dengan berniaga Baju Melayu.
“Kalau rakan-rakan lain kebanyakannya berniaga di Kuala Lumpur, saya pula memilih untuk berniaga di kampung saya, di Kedah. Di sana mungkin masih tak banyak pilihan Baju Melayu yang dijual berbanding di sini yang sentiasa ada kepelbagaian.
“Alhamdulillah pada minggu pertama dan kedua, sambutan sangat luar biasa daripada pembeli sehinggakan saya terpaksa menambah stok untuk memenuhi keperluan. Ingatkan cukup untuk sepanjang Ramadan ini, tetapi tak sangka pula ramai yang nak dapatkan koleksi yang dijual itu,” jelas Fikry lagi.
Meskipun sibuk dengan perniagaan dan penggambaran sepanjang Ramadan ini, Fikry yang juga anak sulung daripada empat beradik ini tidak lupa meluangkan masa untuk membuat persiapan raya keluarganya.
Kata Fikry, dia tidak mahu kesibukannya dengan kerja menyebabkan dia lupa kepada tanggungjawabnya untuk membahagiakan keluarga.
“Alhamdulillah semua persiapan raya untuk adik-adik dan keluarga saya dah siapkan lebih awal. Beberapa hari sebelum puasa, saya dah bawa adik-adik datang KL untuk shopping keperluan raya mereka.
“Malah mereka juga bercuti beberapa hari di sini dan sempat jugalah kami melakukan aktiviti Ramadan bersama-sama, termasuk berbuka puasa bersama-sama.
“Saya bernasib baik kerana pihak produksi drama Kau Yang Pertama memahami permintaan kami untuk mendapat sedikit kelonggaran dari segi jadual kerja pada bulan Ramadan. Jadi sempatlah buat tarawih dan luangkan masa dengan keluarga,” kata Fikry kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!