'Bayangkan you datang umrah seorang diri'

Salah satu gambar Allahyarham dan suami yang diabdikan di Facebook miliknya.
Salah satu gambar Allahyarham dan suami yang diabdikan di Facebook miliknya.
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun sudah masuk hari ketiga, namun pemergian pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, 39, yang maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand masih lagi jadi perbualan.

Pergi di bulan yang mulia, dengan niat untuk menyampaikan sumbangan zakat, ia membuatkan kematiannya dicemburui.

Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, berkongsi situasi mencemaskan itu selepas majlis pengebumian Allahyarham isterinya Sabtu lalu walaupun masih lagi bersedih.

Menurut Ahmad Shah, dia dan isteri sememangnya berada dalam keadaan penat sewaktu bergerak meninggalkan kediaman di Tumpat untuk ke Pattani.

Bagaimanapun, disebabkan janji yang telah dibuat Allahyarham Faziani, dia bersetuju untuk menemani isterinya dan mengambil keputusan memandu sendiri kerana pemandu mereka ada hal keluarga.

“Sebelum kejadian, saya tertidur di lampu isyarat, dia (Faziani) tidur di sebelah saya. Saya beritahu Allahyarham saya nak berhenti di stesen minyak depan itu untuk tidur atau basuh muka sekejap sebelum meneruskan perjalanan.

“Lepas itu, saya tidak sedar dan dalam masa dua saat sahaja dia kejut saya, kemalangan berlaku,” katanya.

Ahmad Shah berkata, menjadi rutin kepada mereka berdua untuk ke tahfiz tersebut cuma kali ini beliau memandu sendiri demi memenuhi permintaan isteri yang tidak mahu melanggar janji yang telah dibuat dengan pihak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai ‘petanda’ awal yang ditunjukkan arwah, Ahmad Shah berkata, arwah tidak menunjukkan tanda-tanda awal meninggalkan mereka dan bersikap seperti biasa sahaja.

“Cuma saya masih ingat, semasa menunaikan umrah baru-baru ini, arwah ada tanya saya, ‘cuba you (awak) bayangkan selepas ini datang umrah seorang diri.' Itu sahaja yang saya rasa pelik,” katanya.

Lebih 300 penduduk termasuk sanak-saudara Allahyarham hadir pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit Luar dekat Wakaf Baharu itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!