Tayang video kesedaran dalam feri
ALOR SETAR - Sebanyak 48 feri akan menyiarkan video kesedaran awam berkaitan amalan 3R dan penjagaan kebersihan persekitaran demi memberi kesedaran kepada masyarakat.
Exco Kerajaan Tempatan, Tan Kok Yew berkata, pemasangan video-video kesedaran itu turut melibatkan kawasan ruang legar terminal feri di negeri ini.
Menurutnya, inisiatif itu diambil Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah kerjasama Jabatan Laut Malaysia dan Pejabat Pelabuhan Kuala Kedah demi mendidik orang ramai.
"Inisiatif pemasangan video kesedaran di ruang legar dan feri berkenaan merupakan platform terbaik demi mendekatkan lagi masyarakat berkaitan budaya kebersihan.
"Dengan ini, orang awam berada dalam dan kawasan jeti termasuklah penumpang feri dapat menonton dan menghayati video ditayangkan ini," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Buang Sampah dalam Tong Sampah dan Program Kesedaran 3R di Jeti Kuala Kedah, di sini hari ini.
Kok Yew berkata, pihaknya mendapati pesanan berkaitan kebersihan persekitaran secara tidak langsung mampu memupuk pelbagai lapisan masyarakat untuk sama-sama menjaga alam sekitar.
"Jeti Kuala Kedah merupakan pintu masuk utama ke Pulau Langkawi yang sentiasa menjadi tempat tumpuan ramai, dan sejajar dengan itu, seluruh kawasan terminal perlu berada dalam keadaan bersih dan sejahtera," katanya.
Sementara itu, Pengarah SWCopr Kedah, Zaidi Tuah berkata, program itu pertama kali diadakan membabitkan kerjasama antara Jabatan Laut Malaysia dan pengusaha feri.
Zaidi berkata, pihaknya komited demi memastikan orang awam sentiasa peka dalam menjaga kebersihan alam persekitaran dan membudayakan amalan 3R.
"Jadi pelbagai kempen dilaksanakan seperti Kempen Jom Buang Sampah ke dalam Tong Sampah, Kempen Asingkan dan Kempen Jangan Gunalah demi memastikan Kedah lebih bersih," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!