'Tiada rumah untuk berkumpul raya tahun ini'
KAMPUNG GAJAH - Seorang anak tidak menyangka rumah pusaka peninggalan arwah bapanya yang sering menjadi tempat berkumpul dia dan adik-beradiknya semasa Aidilfitri musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Sharifuddin Kamarudin, 54, berkata, rumah pusaka keluarganya di Kampung Geronggong, Kampung Gajah itu sudah berusia lebih 50 tahun dan merupakan harta paling berharga buat dia serta lapan lagi adik-beradiknya itu.
"Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada adik perempuan saya memaklumkan rumah arwah ayah terbakar dan perkara paling saya risau keadaan adik saya Khairul Anwar.
"Alhamdulillah bila mereka beritahu dia sempat keluar menyelamatkan diri ketika rumah sedang terbakar dan saya cuba bertenang untuk menerima ketentuan ALLAH di bulan mulia ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui di kediaman berkenaan di sini hari ini.
Menurut Sharifuddin, setiap kali Aidilfitri mereka adik-beradik akan pulang berkumpul di rumah yang didiami adiknya Khairul Anwar untuk beraya bersama dan menziarahi pusara orang tuanya di kampung berkenaan.
"Banyak kenangan kami semua dengan rumah tersebut selain terdapat pelbagai barang peninggalan arwah emak dan ayah seperti pinggan mangkuk lama semua tak dapat diselamatkan," katanya.
Bagi Khairul Anwar, 44, yang juga bapa tunggal, ketika kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, dia sedang tidur di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan sebelum terhidu bau asap dan segera bangun untuk melihat puncanya.
"Bila saya bangun saya lihat api sedang marak dari bilik bawah dan berlari ke dapur mengambil paip untuk padamkan air tetapi tidak berhasil kerana bahangnya terlalu panas.
"Saya kemudiannya segera berlari keluar menyelamatkan diri dan kerana tidak sanggup melihat rumah terbakar saya berlari ke tepi Sungai Perak berhadapan rumah untuk menenangkan diri," katanya.
Tambahnya, dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang termasuk wang serta dokumen pengenalan dirinya kerana api marak dengan cepat selain terasa bahang yang panas.
Sementara itu, Ketua Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Mohd Ihsan Mohd Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 10.50 pagi.
"Setibanya di lokasi kejadian kami mendapati sebuah rumah dua tingkat kelas B berkeluasan 20x40 kaki persegi sedang terbakar 80 peratus dan kerja-kerja pemadaman segera dijalankan.
"Anggota memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos 100 kaki dan satu aliran hos reel dibantu anggota BBP Teluk Intan bersama Bomba Sukarela Felcra Changkat Lada," katanya.
Katanya lagi, pemadaman dilakukan sehingga selesai dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.03 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!