Murah rezeki selepas lahirkan Anaqi: Amyra Rosli
JIKA bulan puasa pada tahun sudah pelakon terkenal Amyra Rosli sibuk dengan jadual penggambaran drama bersiri Nur, pada Ramadan kali ini, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki, bernama Aqeef Anaqi, itu mengambil peluang keemasan dengan berniaga di bazar raya.
“Ramadan ini saya tak berlakon untuk drama bersiri yang panjang disebabkan saya sibuk berniaga kuih raya. Kalau ikutkan saya nak berehat sahaja dan mahu berikan tumpuan kepada Anaqi.
“Tapi, apabila ditawarkan tapak berniaga, saya rasa sayang pula nak lepaskan. Apatah lagi saya ini jenis yang tak boleh duduk diam.
“Kebetulan pula, ada pengeluar kuih yang menawarkan kepada saya peluang untuk berniaga. Jadi saya ambil sajalah peluang itu,” ujarnya.
Menurut Amyra, kuih raya dan juzfit yang dijualnya boleh didapati di Celebfest Suntec, Singapura dan di Bazar Raya, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Meskipun dalam kesibukan berniaga, namun pelakon cantik berusia 28 tahun itu turut terbabit dengan komitmen sebagai duta beberapa barangan.
Begitupun, pemilik nama sebenar Nur Amira Izzati Rosli yang juga merupakan isteri kepada pelakon terkenal Amar Baharin, meluahkan rasa syukur kerana Anaqi juga dilantik sama menjadi duta.
“Syukur alhamdulillah rezeki tidak putus-putus sejak melahirkan Anaqi. Banyak juga produk yang menawarkan saya menjadi duta termasuklah kepada Anaqi.
“Namun sejujurnya saya lebih selesa andai tawaran itu diberikan sekali kepada saya atau Amar kerana saya tidak mahu memaksa dia bekerja pada usia yang masih kecil.
“Oleh itu, kami akan ambil tawaran yang bersesuaian dengan keadaan dan biarlah membabitkan saya bersama Amar.
“Jika hanya Anaqi seorang, buat masa ini saya belum berani terima. Saya tidak mahu dia penat seperti orang dewasa bekerja,” jelasnya sambil tersenyum di samping Anaqi.
Mengulas lanjut mengenai kesibukan pada bulan puasa, Amyra mengakui dirinya bukanlah seorang yang suka duduk diam dan menunggu duit jatuh dari langit. Apatah lagi barangan keperluan anak saban tahun semakin tinggi nilainya.
“Setakat ini saya tak pernah lagi nak duduk untuk cuti lama. Mula-mula nak juga cuti panjang dan rehat terutamanya pada bulan Ramadan, tapi lagi sibuk.
“Mungkin dengan kehadiran Anaqi rezeki tu sentiasa ada, Alhamdulillah. Bila sudah ada anak ini saya kena lakukan sesuatu, barang anak pula sekarang dah mahal. Jadi kena bekerja,” katanya sambil tersenyum.
Berkongsi tentang sambutan hari raya, Amyra yang ditemui pada majlis berbuka puasa The Calla di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, berkata, seperti biasa mereka akan beraya di Kuala Lumpur dan Kajang, Selangor.
Kata Amyra, dia juga tidak perlu bimbang dengan persiapan pakaian kerana sudah mendapat tajaan daripada Prima Valet yang melantik mereka sebagai duta.
“Kampung kami masing-masing dekat, jadi tidak ada masalah untuk beraya di mana-mana pun. Setiap kali raya hanya di Kuala Lumpur dan Kajang.
“Kalau fasal kelengkapan baju raya pun begitu, ia tidak menjadi masalah. Saya hanya perlu ambil saja di butik Prima Valet berapa pasang yang saya, suami dan anak mahukan. Mungkin dalam 10 pasang untuk tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!