Nahas kereta 'sardin' polis cekup dua suspek

Omar Bakhtiar(tengah) meneliti kandungan laporan soal-siasat kedua suspek ditahan berhubung kes kemalangan kereta 'sardin' membabitkan 16 penumpang di Bukit Merah, semalam.
Omar Bakhtiar(tengah) meneliti kandungan laporan soal-siasat kedua suspek ditahan berhubung kes kemalangan kereta 'sardin' membabitkan 16 penumpang di Bukit Merah, semalam.
A
A
A

BAGAN SERAI - Dua suspek penama dan peminjam kenderaan jenis Nissan X-Trail yang terbabit kemalangan membabitkan 16 penumpang warga Myanmar dan menyebabkan tiga mati di Bukit Merah, di sini semalam, ditahan bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pada jam lebih kurang 4.30 petang hingga 5.45 petang, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan dibantu IPD Kampar membuat dua tangkapan di tempat berasingan di hadapan rumah Taman Pelangi, Kampar dan Kampung Baru Sungai Siput Selatan, Kuala Dipang, Kampar pada hari sama.

Menurutnya, dua tangkapan itu membabitkan penama kenderaan itu dikenali M Vasudavan,56, manakala seorang lagi suspek merupakan seorang warga Myanmar bernama Law Kee Thang.

"Hasil soal siasat terhadap tangkapan pertama mendapati suspek adalah pemilik kereta Nissan X-Trail yang terlibat kemalangan itu.

"Berdasarkan keterangan suspek pertama, dia menyerahkan kenderaan itu kepada seorang lelaki warga Myanmar yang memiliki kad pelarian UNHCR dikenali dengan nama 'Ah Hong'.

"Sebagai balasan, Ah Hong memberikan wang sebanyak RM300 sebagai belanja kepada suspek pertama dan mengambil kereta itu," katanya pada sidang media di pekarangan IPD Kerian hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, hasil soal siasat tangkapan kedua seorang warga Myanmar didapati dia merupakan perantara di antara suspek pertama dan 'Ah Hong'.

Menurutnya, tangkapan kedua mengenali Ah Hong kerana beliau pernah bekerjasama dan pernah bertanyakan kepada tangkapan kedua untuk mencari kereta untuk dibeli.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini, kita masih mencari kaitan dua suspek ini dengan sebuah sindiket yang dipercayai memang beroperasi menyeludup warga asing ke dalam negara ini untuk dihantar ke selatan tanah air.

"Polis mengesyaki kumpulan sindiket yang beroperasi di utara semenanjung menggunakan modus operandi sama untuk menyeludup warga asing ke negara ini.

"Hal ini berdasarkan kenyataan salah seorang mangsa ditahan yang mendakwa dia bersama kesemua mangsa kemalangan lain ditempatkan di sempadan Thailand selama dua malam sebelum di transit ke dalam negara ini, juga difahamkan secara berhimpit-himpit dalam satu kenderaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nahas kereta 'sardin', polis minta bantuan Kedutaan Myanmar

Beliau berkata, hasil soal siasat mangsa kemalangan ditahan masih menemui kesukaran meskipun mendapat khidmat bantuan jurubahasa disediakan Kedutaan Myanmar.

Menurutnya, kesemua warga Myanmar yang diseludup dan terbabit kemalangan itu terdiri daripada pelbagai etnik bangsa dan mempunyai loghat bahasa berlainan.

"Selain itu, proses tuntutan tiga mayat yang mati dalam kemalangan semalam juga masih belum dikemukakan mana-mana pihak termasuk Kedutaan Myanmar.

"Mengenai kondisi tujuh mangsa parah, seorang daripadanya masih koma dan berkeadaan kritikal, manakala yang lain masih parah dan mengalami patah di beberapa bahagian dalaman.

"Setakat ini empat identiti mangsa kemalangan sudah diperolehi, namun hanya secara pengesahan lisan dan maklumat mengenai kaedah mereka mencerobohi negara ini masih belum diperolehi sepenuhnya memandangkan majoriti mereka pertama kali masuk ke negara ini," katanya.

Mengenai status pemandu dan penumpang hadapan kereta 'sardin' yang menghilangkan diri selepas kemalangan berlaku, Omar Bakhtiar menegaskan usaha pencarian dua individu warga Myanmar berkenaan masih giat dijalankan dengan kawasan pencarian diperluaskan ke daerah berdekatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26(A) Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/1963 yang boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai lima belas tahun dan dikenakan denda.

"Kedua-dua suspek ditahan akan reman di bawah Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-langkah Khas) 2012 mulai 21 Mei hingga 17 Jun hadapan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!