MOA kenal pasti potensi nanas sebagai tanaman selingan di Felda
JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah mengenal pasti potensi nanas sebagai salah satu tanaman selingan di negara ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ia boleh ditanam bersama dengan kelapa sawit dan getah yang kini berdepan ketidaktentuan harga pasaran.
"Sekali gus dapat membantu pekebun sawit dan getah memperolehi pendapatan tambahan.
"Saya sudah bermesyuarat bersama Datuk Seri Azmin Ali untuk kita memajukan tanah-tanah terbiar dan tanah-tanah ladang Felda untuk kita meningkatkan pendapatan peneroka Felda," katanya ketika ditemui melawat premis usahawan tart nanas di Taman Bukit Indah di sini hari ini.
Salahuddin berkata, MoA bersedia memberikan varieti nanas dan kepakaran bagi menjayakan syor tanaman selingan antara nanas dengan kelapa sawit dan getah di Felda.
Selain itu, katanya, potensi nanas sebagai tanaman selingan juga seiring dengan sasaran untuk meningkatkan keluasan tanaman nanas terutama MD2.
"Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan keluasan tanaman nanas MD2 daripada 2,032 hektar pada tahun 2017 kepada 5,500 hektar pada tahun 2020.
"Keluasan keseluruhan tanaman nanas Malaysia pada ketika ini adalah seluas 13,733 hektar," katanya.
Ditanya mengenai kesesuaian tanah bagi menjayakan tanaman selingan, katanya, MoA akan meminta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Jabatan Pertanian untuk membuat kajian terlebih dahulu.
"Kita sudah mula, dan sekarang ini di peringkat pegawai sedang mengadakan mesyuarat untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang terpilih.
"Selepas itu saya rasa sebelum akhir tahun ini kita sudah boleh buat beberapa pilot project di beberapa kawasan tanah Felda yang terpilih. Kita nak cepat, tak nak berlengah kerana ini penting untuk meningkatkan pendapatan peneroka Felda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!