Pelantikan Ahli Dewan Negara dalam kalangan belia disokong

Laporan Sinar Harian Rabu lalu.
Laporan Sinar Harian Rabu lalu.
A
A
A

KUANTAN - Pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melantik Ahli Dewan Negara dalam kalangan belia baru-baru ini membuktikan pengiktirafan besar kerajaan kepada golongan itu.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Maran (MBM), Zafril Nasir, berkata, ini kerana peranan pemimpin belia dalam membuat keputusan sama ada di peringkat Ahli Majlis Daerah negeri dan negara adalah penting.

“Hampir 50 peratus daripada penduduk Malaysia terdiri daripada golongan belia dan semestinya perlu ada suara wakil belia selain wakil politik semata-mata.

“Tetapi wakil belia bukan hanya di peringkat Dewan Negara malahan di peringkat daerah, negeri dan GLC kerajaan perlu juga dipertimbangkan untuk menjadi pengimbang tara yang baik antara pandangan orang muda dan senior yang lebih berpengalaman.

Menurutnya, Ahli Dewan Negara perlulah terdiri daripada belia yang berpengalaman luas dalam bidang dan isu pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Pahang, Faizal Sulaiman berpendapat penerimaan perdana menteri sebagai sesuatu yang sangat baik dan tanda pengiktirafan kerajaan kepada peranan belia di negara ini.

Menurutnya, ini juga memudahkan wakil belia untuk membawa isu belia ke peringkat lebih tinggi tanpa melalui proses birokrasi yang berkemungkinan menyebabkan ada perkara tidak sampai ke atas.

Artikel Berkaitan:

Faizal Sulaiman (kiri) dan Zafril Nasir
Faizal Sulaiman (kiri) dan Zafril Nasir

“Bagus dan sangat setuju. Inisiatif ini akan membantu belia akar umbi membawa isu terus ke Dewan Negara. Diharapkan fokus dan keutamaan dalam membangunkan generasi muda melalui pelbagai inisiatif sebegini akan terus dilakukan.

“Semoga pelantikan ini dilaksanakan dalam waktu terdekat bagi membolehkan belia peringkat akar umbi menyalurkan maklumat dengan lebih cepat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan setuju lantik seorang Ahli Dewan Negara wakili belia

Pengerusi Belia Kampung Jengka Batu 3, Maran, Saiful Rrizal Mohamed Arifin juga meluahkan pendapat sama dengan menyambut baik pengumuman tersebut.

"Pelantikan ini akan membuatkan ada suara dan pandangan golongan belia yang boleh disampaikan ke dalam Dewan Negara.

"Dalam pada itu mengenai cadangan mengkaji penurunan kategori belia daripada 40 tahun ke bawah kepada 30 tahun ke bawah, ia cadangan bagus tetapi tidak relevan untuk dilaksanakan di negara ini," katanya.

Zafril berkata, cadangan itu sesuai dengan taraf umur belia di beberapa negara Eropah tetapi tidak di Malaysia kerana sistem pendidikan di negara ini yang berlainan dengan Eropah.

“Jika belia berjaya ke universiti mereka akan tamat belajar sekitar usia 25 hingga 27 tahun. Kebimbangan adalah mencari kepimpinan belia di peringkat kampung, daerah dan negeri, yang akan mengakibatkan persatuan belia terus mati.

“Pada umur kurang 30 tahun biasanya belia dalam program belajar, mencari pekerjaan dan ingin berkahwin. Golongan sukarelawan untuk belia akan menjadi beban kepada mereka.

“Tambahan lagi buat masa kini tiada lagi peruntukan pentadbiran kepada persatuan belia di semua peringkat kampung, daerah dan kebangsaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!