Polis sedang lengkapkan kertas siasatan kes Siti Kharina
SHAH ALAM - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kes masih lagi dalam siasatan dan polis akan melengkapkannya.
“Kita tunggu sahaja keputusan siasatan dan juga keputusan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Ketika ditanya sama ada suspek utama kes iaitu lelaki Nigeria itu telah di bawa ke kondominium di mana mayat Siti Kharina ditemukan untuk siasatan di lokasi, Fadzil berkata, semua proses siasatan termasuk subjek siasatan masih belum boleh didedahkan.
“Setakat ini itu sahaja maklumat yang boleh diketahui umum, selebihnya polis masih laksanakan siasatan,” katanya.
Di tanya juga sama ada suspek yang akan tamat tempoh reman tujuh hari pada Khamis ini akan disambung lagi reman atau tidak, Fadzil memberitahu ia adalah mengikut keperluan semasa.
“Sekarang ini masih dalam tempoh reman pertama selama tujuh hari. Selanjutnya, tempoh reman kalau kita jangka kita perlu sambung, kita akan sambung dan kalau tak perlu kita tak akan sambung,” katanya lagi.
Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dan ditemui mati dibunuh di sebuah unit kondominium di Cyberjaya pada 16 Mei.
Susulan itu, polis menahan tiga suspek yang merupakan rakan seperniagaan dan memiliki sebuah kedai menjual telefon bimbit di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.
Siti Kharina, 40, sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun. Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah.
Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian Siti Kharina adalah akibat luka hirisan di lehernya.
Hasil siasatan polis mendapati, suspek utama lelaki warga Nigeria telah mengenali mangsa selama beberapa tahun melalui media sosial dan datang ke Malaysia pada Januari lalu bertemu dengan ketua Jururawat itu.
Suspek datang menggunakan pas lawatan pelancong sejak Januari lepas, namun telah menetap lebih masa di negara ini sewaktu ditahan polis berkait pembunuhan Siti Kharina.
ARTIKEL BERKAITAN:
Siti Kharina masih belum pulang setelah lima hari hilang
Hospital Serdang sahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas
Kertas siasatan kehilangan Ketua Jururawat Hospital Serdang dibuka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!