Mesyuarat tergempar GCC, Liga Arab 30 Mei ini
JEDDAH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz memanggil mesyuarat tergempar Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan pemimpin Liga Arab untuk membincangkan isu keselamatan dan langkah untuk mempertingkatkan keselamatan di rantau terbabit.
The Saudi Press Agency (SPA) melaporkan Raja Salman telah menjemput pemimpin Teluk dan negara Arab untuk menghadiri dua sidang kemuncak tergempar di Makkah pada 30 Mei ini berhubung ‘pencerobohan’ dan kesannya kepada Asia Barat.
Difahamkan, mesyuarat luar biasa itu dipanggil susulan serangan ke atas kapal maritim komersial di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dua stesen pam minyak di Riyadh.
Ketika ini, ketegangan semakin memuncak di Teluk selepas Amerika Syarikat mengerahkan kapal perang milik mereka, USS Abraham Lincoln dan pesawat pengebom ke perairan rantau terbabit kononnya sebagai respons terhadap ancaman Iran.
Sementara itu, Menteri Luar, Adel al-Jubeir berkata, Arab Saudi cuba melakukan yang terbaik untuk mengelakkan peperangan di Asia Barat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!