APEC perlu fokus ekonomi digital

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu memberi tumpuan ke atas bidang ekonomi digital dengan meningkatkan usaha untuk memudahkan e-dagang yang merentas sempadan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata bagi menyokong transformasi digital, APEC perlu pantas dalam merebut peluang untuk menerajui usaha ekonomi digital yang substantif jika mahu menjadi penentu peraturan atau menghadapi risiko ditinggalkan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan mesyuarat Menteri-menteri APEC yang Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) ke-25 yang diadakan pada 17 hingga 18 Mei di Valparaiso, Chile.

Leiking yang akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan Malaysia ke tiga buah negara Amerika Selatan pada minggu ini juga berkata MRT pada prinsipnya bersetuju bahawa APEC mempunyai peranan penting untuk dimainkan bagi menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang dimulakan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menteri-menteri APEC juga menyeru kepada WTO untuk memodenkan peraturannya bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran perdagangan semasa global bagi membolehkan pertubuhan itu mencari jalan untuk menyelesaikan isu-isu operasi yang berpanjangan.

“Pembaharuan adalah sangat penting untuk kekal relevan dalam zaman serba canggih ini, WTO harus mampu menyediakan platform yang berkesan bagi melindungi kepentingan perdagangan negara-negara membangun seperti Malaysia,” kata Leiking.

Beliau juga menekankan bahawa APEC perlu membentuk visi baharu selepas tamatnya matlamat Bogor pada 2020 nanti.

“Sudah sampai masa untuk kita menginsankan APEC dan Malaysia berharap dapat memikul tugas khusus ini ketika menjadi tuan rumah bagi APEC 2020, dengan tumpuan untuk memajukan pembangunan ekonomi di rantau ini, seiring dengan kesejahteraan sosio-ekonomi penduduknya,” kata Leiking.

Artikel Berkaitan:

Leiking sedang dalam misi perdagangan ke negara-negara Amerika Selatan yang meliputi Santiago, Chile pada hari ini sebelum bertolak ke Buenos Aires, Argentina esok dan kemudian ke Brasilia serta Sao Paulo, Brazil mulai 22-24 Mei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!