Suami isteri mualaf dakwah ke kampung orang asli
SERENDAH - Bertemu jodoh ketika belajar agama di pusat bimbingan mualaf dan kini mereka pula meneruskan usaha berdakwah kepada golongan mualaf termasuk di kampung orang asli.
Guru pembimbing mualaf, Abdul Ghani Krishna Moorthy, 40, berkata, dia dan isteri, Noranisah Famidah Abdullah, 32, mendirikan rumahtangga selepas empat bulan perkenalan dan dikurniakan seorang anak berusia empat tahun.
Menurut bekas pemandu teksi itu, dia memeluk Islam pada 2013 melalui seorang penumpang tetap dipanggil Ustaz Syed Mohd Nor Hisham.
“Ustaz ini menunjukkan minat untuk mengetahui tentang agama lama saya dan bila dah lama selalu naik teksi saya, baharu dia bagi beberapa risalah berkaitan Islam.
“Bila saya baca risalah itu, saya tertarik nak tahu lebih lanjut dan saya ambil masa dua tahun mencari kebenaran Islam.
“Saya ucap Shahadah sendiri kerana saya fikir itu antara saya dengan ALLAH, sebelum mendaftar secara rasmi dan mengikuti pengajian mualaf di Kedah,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Perkim Serendah di Kampung Orang Asli Ulu Melaka di sini kelmarin.
Abdul Ghani berkata, dia memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga dan merahsiakan perkahwinan kerana bapanya meninggal dunia pada tahun yang sama.
Menurutnya, tiada sebarang majlis keramaian boleh diadakan dalam tempoh setahun dari tarikh kematian mengikut kepercayaan agama dianuti ahli keluarga lain.
“Dulu saya orang nakal dan bila keluarga terutama ibu lihat saya banyak berubah, mereka boleh terima kenyataan saya sudah memeluk Islam,” katanya.
Sementara itu Noranisah yang juga Naib Pengerusi Perkim Serendah berkata, dia berasal dari Kampung Medong Dalat, Mukah, Sarawak yang didiami ramai penduduk beragama Islam.
Menurutnya, dia memeluk Islam ketika dalam pengajian semester kedua di sebuah politeknik tanpa pengetahuan keluarga.
“Pada mulanya keluarga terkilan tapi dapat terima dengan baik dan kini saya seronok mengikuti suami berdakwah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!