KPM diminta baiki segera dewan SKPK Prince Elizabeth
JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan diminta menyegerakan kerja baik pulih struktur dewan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Prince Elizabeth di sini, yang keadaannya semakin teruk akibat dimakan anai-anai.
Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan berkata, Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan telah dimaklumkan tentang masalah tersebut.
“Saya mewakili kerajaan negeri dan juga ibu bapa kepada murid SKPK Princess Elizabeth mengharapkan sangat supaya kementerian dapat menyegerakan pembaikan.
“Sepatutnya pada hari ini (semalam) ada iftar bersama ibu bapa dan murid, namun terpaksa dibawa ke surau yang lebih kecil suasananya. Agak sempit untuk buat program berbuka puasa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke SKPK Princess Elizabeth semalam.
Aminolhuda berkata, tinjauan ke sekolah tersebut mendapati kayu galang bumbung dewan sudah patah kerana serangan anai-anai dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memberikan notis untuk tidak menggunakan prasarana itu.
“Kerana ia berbahaya kepada semua pengguna. Jadi saya mengharapkan supaya pihak berkaitan dapat segera bertindak untuk membantu keselesaan murid di (sekolah) pendidikan khas ini.
“Seperti mana yang kita tahu, (sekolah) pendidikan khas ini menempatkan murid yang mempunyai masalah penglihatan. Jadi keperluan untuk menjaga keselamatan mereka itu amat diutamakan oleh kita sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa kerosakan dialami pada struktur kayu beberapa bangunan termasuk dewan dikesan pada Julai tahun lalu.
“(Dewan) Ditutup dan tidak digunakan sejak hampir setahun lalu. Kita mengharapkan sudah setahun ini, dapat dipulihkan segera untuk kemudahan anak-anak pelajar.
“Dari segi JKR punya nasihat pun, memang tak boleh digunakan. Dikosongkan. Sebab itu kita minta supaya tindakan segera di peringkat kementerian, dapat membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SKPK Princess Elizabeth, Mohd Dini Karim berkata, pihak sekolah telah mendapatkan laporan penilaian daripada JKR yang menunjukkan bangunan tidak selamat digunakan.
“Jadi ‘feedback’ JKR itu kita sudah panjangkan ke Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!