KADA galak petani tanam kopi
TUMPAT - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengalakkan petani di negeri ini menceburi tanaman kopi memandangkan industri ini berpotensi diusahakan secara kormersial.
Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa berkata, ia boleh dimulakan secara kecil-kecilan sebagai pendapatan sampingan petani dan juga diusahakan dalam skala besar kerana kopi mendapat permintaan tinggi seluruh dunia.
"Kita sudah ada pengilang dan outlet berjaya dan duanya adalah usahawan KADA tetapi kopinya diimport dari luar.
"Dengan adanya tanaman kopi sendiri, kita boleh bekalkan kepada pengilang dan hasilkan kopi jenama sendiri yang boleh menebusi pasaran antarabangsa," katanya ketika Program Makan Colek di Lojing Coffee Kota Kubang Labu di sini malam tadi.
Husam berkata, sudah tiba masanya petani buka mata dan minda supaya tidak terlepas peluang perkembangan pesat industri kopi yang berkembang seluruh dunia.
Menurutnya, sebagai galakkan petani di Kelantan menceburi tanaman kopi, pihaknya akan berbincang dengan pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau Institut Penyelidikan Perhutanan membekalkan benih kopi selepas Aidilfitri ini.
"Saya bercadang beri anak pokok kopi kepada petani untuk mereka tanam di halaman rumah dan mereka yang punyai kebun sebagai tanaman sampingan.
"Galakkan ini supaya negeri Kelantan mendahului negeri lain menceburi tanaman kopi, kalau pergi ke kampung-kampung memang banyak pokok kopi ditanam tetapi tidak diusahakan.
"Bagi yang mahu mengusahakan tanaman kopi secara besar-besaran, boleh adakan perbincangan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!