15 penumpang bas ekspres selamat
RAUB - Seramai 15 penumpang sebuah bas ekspres terselamat selepas bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di KM340 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini malam tadi.
Kemalangan tersebut turut membabitkan tiga buah kenderaan lain iaitu sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Isuzu D-Max dan dua lagi kereta jenis Proton Wira dan Honda Civic.
Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.43 tengah malam itu, bas terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah Isuzu D-Max dari arah bertentangan memasuki laluan bas dan melanggar bahagian kiri bas sebelum berpusing dan melanggar dua buah kereta tersebut yang diletakkan di hadapan sebuah restoran.
"Dalam kejadian itu, kesemua 15 penumpang dan seorang pemandu bas yang berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan.
"Pihak polis masih mengesan pemandu pacuan empat roda yang menghilangkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen Rule 10LN 166/58 dan siasatan masih giat dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!