ICC di peringkat akhir analisis, siasat dakwaan terhadap Israel

Azril pada sidang media, di sini hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
Azril pada sidang media, di sini hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Jenayah Antrabangsa (ICC) memberi jaminan siasatan dan analisis terhadap pendakwaan jenayah perang dan pelanggaran Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) Israel akan selesai dalam beberapa bulan lagi.

Ketua Pasukan Peguam Penyiasat Yayasan MyAqsa (MyAqsa), Azril Mohd Amin berkata, jaminan itu diberikan susulan daripada perbincangan dan pertemuan antara pihaknya dengan wakil-wakil ICC pada 17 Oktober 2018 dan 20 Disember 2018 di ICC, The Hague.

“Walaupun pada awalnya ICC mengakui asas hujah MyAqsa sebelum ini adalah meyakinkan, namun pihak kami tidak berpuas hati dengan kelewatan siasatan dijalankan ICC untuk memastikan pendakwaan dapat dilakukan secara rasmi.

“Setelah perbincangan mendalam diadakan, ICC memberi gambaran bahawa analisis dan siasatan mereka terhadap kes ini telah sampai di peringkat akhir sebelum pendakwaan secara formal boleh dibuat terhadap Israel,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Azril berkata, MyAqsa turut digariskan beberapa panduan supaya dapat bersama-sama membantu ICC dalam menyempurnakan siasatan dan pendakwaan terhadap Israel nanti.

“Justeru, MyAqsa akan meningkatkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa Palestin khususnya melalui kedutaan Palestin di Malaysia di samping melobi melalui pertubuhan-pertubuhan antarabangsa termasuk melalui Coalition of International Criminal Court (CICC) untuk memastikan proses pendakwaan terhadap Israel dapat dilaksanakan secara berkesan.

“MyAqsa menyeru kepada semua masyarakat antarabangsa mahupun tempatan agar sama-sama membuat desakan dan memberi tekanan supaya Israel benar-benar dapat di bawa ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya, dalam perbincangan yang diadakan, MyAqsa telah mengemukakan tiga hujah utama bagi membidas kelewatan ICC dalam aspek ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita kemukakan hujah mengenai Resolusi 2334 UNSC yang menjadi asas pada tindakan MyAqsa di mana Israel telah melakukan pelbagai pelanggaran resolusi tersebut dengan berdegil menceroboh, merobohkan dan membina penempatan haram di wilayah Palestin.

“Minggu lepas, 20 kediaman milik rakyat Palestin dirobohkan di daerah Issawiya, Baitulmaqdis manakala dalam satu laporan yang dikeluarkan mengesahkan bahawa Israel telah membina lebih 20,000 penempatan haram dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mempersoalkan ICC yang telah mengakui menerima pelbagai bukti mengenai kekejaman Israel, bukan sahaja berkaitan pencerobohan di wilayah Palestin, tetapi pembunuhan, pengusiran dan tindakan biadab terhadap penduduk Palestin.

“Tempoh empat tahun setelah Palestin menyertai Statut Rom semenjak 1 April 2015 adalah memadai untuk melihat tindakan berkesan ICC dalam menyelesaikan siasatan dan memulakan pendakwaan terhadap Israel secara formal.

“Hal ini sangat menghairankan kerana sebagai sebuah institusi keadilan antarabangsa, ICC sepatutnya menunjukkan contoh ke hadapan dalam proses mencari keadilan sejagat,” katanya.

Katanya, MyAqsa berpandangan bahawa kelewatan ICC ini bukan sahaja berpunca daripada birokrasi dalaman ICC tetapi juga tekanan-tekanan pihak tertentu yang tidak mahu kebenaran didedahkan mengenai nasib sebenar rakyat Palestin yang ditindas.

“MyAqsa tidak berpuas hati dengan alasan kelewatan yang diberikan ICC yang sepatutnya memastikan pihak-pihak pengadu atau mangsa kekejaman mendapat layanan yang adil dan saksama,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar segala inisiatif yang MyAqsa usahakan ini akan memberi impak yang sewajarnya agar kezaliman dan kekejaman yang dilakukan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dapat diadili dengan seadilnya melalui segala peruntukan perundangan yang ada.

“Palestin dan rakyatnya perlu diberikan hak untuk wujud dengan aman dan adil manakala Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa perlu kekal menjadi milik umat Islam tanpa sebarang gangguan dan campur tangan Israel,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!