Sesungguhnya 2019 sentuh hati bukan Islam
KURANG dua minggu dimuat naik di laman perkongsian video YouTube, video muzik lagu versi baharu Sesungguhnya 2019 kini mencatat lebih 5 juta tontonan.
Lagu asal nyanyian kumpulan nasyid terkenal Raihan itu diberi nafas baharu apabila digandingkan bersama selebriti versatil Alif Satar yang disiarkan sejak 9 Mei lalu.
Walaupun selepas 22 tahun sejak Sesungguhnya dinyanyikan penyanyi asal Nazrey Johani, nyata ia masih mampu menyentuh perasaan jutaan pendengar sekali gus mengubat rindu kepada kumpulan Raihan setelah sekian lama menyepi.
Apa yang membanggakan, gabungan suara merdu Raihan dan Alif bukan sahaja mengusik hati pendengar Islam, tetapi juga pendengar bukan Islam.
Menerusi komen yang ditinggalkan peminat di YouTube, ramai pendengar bukan Islam mengakui lagu itu memberi ketenangan selain meninggalkan kesan mendalam di lubuk hati mereka.
“Saya bukan orang Islam. Tetapi lagu ini menyentuh hati saya. Saya sayang semua orang Islam dan kawan-kawan Islam saya,” tulis Dee FelLas.
“Pendengar boleh rasa bila penyanyi itu ikhlas hendak menyampaikan mesej. Raihan tetap terbaik,” menurut bestie 4eva.
Salah seorang anggota kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri turut tidak ketinggalan meninggalkan komen.
“Sesungguh dan sebenarnya kami sangat mengharapkan rahmatMU. Terima ksih Raihan dan Alif kerana menyiramkan rasa cinta itu. Moga terus subur di hati kami,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Alif Satar, Raihan bergabung dalam majlis amalMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!