Misil menuju ke Makkah dipintas
JEDDAH - Pasukan Pertahanan Udara Diraja Arab Saudi memintas dan memusnahkan dua misil yang didakwa dilancarkan pemberontak Houthi semalam.
Jurucakap tentera Gabungan Arab memberitahu misil tersebut dilancarkan menuju ke Makkah dan Jeddah.
"Ia dimusnahkan di ruang udara Taif dan serpihan projektil pertama jatuh di Wadi Jalil, sebuah lembah luas menuju ke Makkah.
Rakaman video yang menjadi tular di media sosial menunjukkan misil kedua dipintas dan dimusnahkan di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah.
Difahamkan, ia bukan kejadian pertama kerana pemberontak Houthi didakwa pernah melancarkan misil menyasarkan Makkah pada Julai 2017.
Insiden itu berlaku selepas Riyadh memberi amaran terhadap serangan dron yang menyasarkan stesen pam saluran paip minyak di bandar Dawadmi dan Afif yang memindahkan minyak ke pelabuhan Yanbu dan ke seluruh dunia pada 14 Mei lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!