Pemuda Amanah Perak tak mahu Dr Maszlee letak jawatan
IPOH - Tiada keperluan untuk Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan berhubung isu kuota bumiputera matrikulasi serta kenyataan mengenai keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk mencari pekerjaan, demikian tegas Ketua Pemuda Amanah Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Beliau berkata, rekod Maszlee yang menerajui Kementerian Pendidikan menunjukkan banyak inisiatif yang telah dan sedang diperkenalkan dalam usaha memacu pendidikan negara ke arah sistem lebih baik pada masa hadapan.
Katanya, adalah lebih baik satu perbincangan secara tertutup dibuat antara pemimpin-pemimpin berhubung isu kuota pengambilan pelajar ke program matrikulasi yang kini menjadi perdebatan hangat.
"Ia bertujuan memberi peluang agar data dan maklumat terperinci dapat dibentangkan seterusnya membuat penilaian sama ada tujuan serta matlamat asal program ini telah tercapai atau sebaliknya sebelum apa-apa tindakan berkaitan kuota pengambilan ditentukan.
"Pada ketika ini, kami melihat kuota sedia ada dan pengumuman penambahan jumlah pengambilan daripada 25,000 kepada 40,000 tempat kepada pelajar untuk program ini dikekalkan dan diteruskan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya berpandangan program Tingkatan 6 untuk pelajar mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) wajar diperkasakan.
"Perkara itu perlu dinilai sama ada wujud keperluan bagi menambah bilangan tempat kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian.
"Pihak kerajaan juga digesa mempelbanyakkan program berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri dalam dan luar negara bertepatan dengan gelombang Revolusi 4.0 yang pesat berkembang pada hari ini," katanya.
Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain turut mengingatkan pihak-pihak tertentu agar menghentikan sebarang bentuk provokasi tersebut yang dilihat cuba menjadikan isu ini sebagai isu perkauman.
Katanya, tindakan seperti itu tidak mendatangkan sebarang faedah dan kebaikan kepada pendidikan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!