RTS: Malaysia, Singapura meterai perjanjian tambahan gantung pembinaan projek
SINGAPURA - Malaysia dan Singapura hari ini secara rasmi menandatangani perjanjian tambahan (SA) untuk menggantung pembinaan Projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) sehingga 30 September tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Malaysia akan membayar balik sebanyak RM2 juta kepada Singapura pada 31 Julai ini sebagai kos kegagalan yang ditanggung akibat daripada penggantungan selama enam bulan.
Loke dan rakan sejawatannya dari Singapura Khaw Boon Wan memeterai perjanjian tersebut untuk mengumumkan penggantungan itu di Kementerian Pengangkutan di sini.
Perjanjian dua hala mengenai Laluan RTS itu telah ditandatangani pada Januari tahun lepas semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional
Menurutnya, di bawah perjanjian asal tambang bagi perjalanan sehala ditetapkan sebanyak RM15 ia akan membebankan rakyat Malaysia yang berulang alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja.
Pembinaan projek itu pada awalnya dijadualkan tahun ini dan dijangka siap pada Disember 2024 bertujuan menangani masalah kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang-alik antara kedua-dua negara itu setiap hari.
Projek Laluan RTS merangkumi landasan sepanjang 4km yang menghubungkan Bukit Chagar (Johor Baru) dan Woodlands (Singapore), dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang setiap jam.
Sementara itu, Boon Wan berkata, Malaysia perlu membayar lebih daripada S$66 juta (RM200 juta) sekiranya ia memilih untuk menamatkan projek berkenaan.
Kedua-dua menteri kemudiannya melawat tapak projek Laluan RTS itu di Woodlands North.
Dalam pada itu Anthony berkata, setakat ini kedua-dua pihak juga sedang membincangkan jumlah pengurangan kos selain belum kenal pasti sektor swasta yang akan terlibat dalam projek berkenaan.
“Kami juga sedang mencari sektor swasta untuk terlibat dalam projek ini. Jadi ini melibatkan perbincangan komersial.
“Apa yang paling penting adalah sama ada kita dapat mengurangkan kos infrastruktur yang akan memberi manfaat kepada penumpang dan orang awam kerana ia akan mengurangkan kadar tambang,” katanya.
Beliau juga melahirkan penghargaannya terhadap sokongan dan pemahaman Singapura terhadap cabaran yang dihadapi Malaysia dalam melaksanakan projek Laluan RTS ini.
Menurutnya, sepanjang tahun ini beliau bertemu dengan rakan sejawatannya sebanyak enam kali untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian isu-isu dua hala termasuk perjanjian RTS.
“Kami menyedari keperluan mendesak untuk mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor Baharu - Singapura yang memudahkan kira-kira 300,000 orang melintasi sempadan setiap hari melibatkan kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura,” katanya.
Anthony berkata, perjanjian tambahan itu akan memberikan Malaysia sedikit masa untuk mencari penyelesaian lain yang lebih sesuai dan mampan bagi menangani kesesakan trafik di sempadan negara.
“Ini termasuklah inisiatif baharu seperti penambahbaikan infrastruktur fizikal di sempadan, kajian semula polisi dan peraturan antara sempadan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan rentas sempadan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!