Surau PPR Seri Pantai dihujani botol arak

Gambar tular berhubung kejadian sebuah surau di PPR Sri Pantai dibaling botol arak kosong, malam kelmarin.
Gambar tular berhubung kejadian sebuah surau di PPR Sri Pantai dibaling botol arak kosong, malam kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai digemparkan dengan penemuan serpihan 8 biji botol arak yang memenuhi kawasan sekitar Surau Al Makmur, di sini, Ahad lepas.

Botol-botol kaca itu dipercayai dibaling dari tingkat atas bermula pada kira-kira 8.30 malam itu sehingga selesai solat terawih, menimbulkan perasaan tidak puas hati penduduk tatkala mereka sedang menunaikan solat.

Nik Mohamad Hafiz Nik Yusof, 32, seorang penduduk dan saksi kejadian, berkata botol-botol kaca yang jatuh itu dari tingkat atas itu turut mengakibatkan kerosakkan kecil pada motosikal miliknya.

“Ada kira-kira lapan botol dipercayai botol-botol arak dibaling dari atas blok bangunan kediaman ini hingga jatuh pecah. Satu daripada botol nyaris mengenaikan imam jemputan surau kami.

“Kami tidak tahu siapa yang melemparkan botol-botol arak ini dari tingkat atas. Namun, berdasarkan pemerhatian, kami tahu botol-botol ini seolah-olah dibaling secara sengaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu boleh menyebabkan kecederaan kepada penduduk di sini tatkala waktu itu, rata-rata penduduk terutamanya umat Islam ingin menunaikan ibadat di surau berkenaan.

Menurut Nik Mohamad Hafiz, bagaimanapun, kejadian baling botol arak ini bukan perkara baharu di situ memandangkan sebelum ini banyak lagi objek-objek keras lain yang dilemparkan dari tingkat atas.

“Sampah-sampah yang dibuang dari tingkat atas itu sudah pasti. Apa yang lebih merisaukan, sebelum ini, terdapat objek-objek lain dibuang termasuk seterika yang hampir mengenai kenderaan penduduk di sini. Ada juga objek yang dibaling terkena cermin kenderaan hingga pecah,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi saksi yang ingin dikenali sebagai Ariff Yusoff, 54, berkata, botol-botol arak itu dibaling secara berperingkat dan dua botol terakhir yang dilempar dari atas berlaku sekitar pukul 10 hingga 11 malam.

“Bila dah banyak kaca bertaburan di sini (surau), kami terus menghubungi pihak polis berkenaan kejadian dan membuat laporan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields,” katanya.

Selain itu, Ariff turut menafikan kejadian botol pecah itu berlaku malam tadi seperti yang tular di media sosial sebaliknya insiden terbabit berlaku pada Ahad lepas.

Semalam, beberapa gambar tular di Facebook yang menunjukkan serpihan botol-botol kaca di sekitar kawasan Surau Al Makmur, PPR Sri Pantai, Bangsar.

Hantaran yang dikongsi netizen mendapat pelbagai reaksi sehingga mendakwa botol-botol yang dibaling kerana laungan azan dan tarawih dari surau berkenaan mungkin mengganggu segelintir penduduk- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!