Operasi cari lelaki jatuh sungai diteruskan
IPOH - Usaha pencarian seorang lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Pinji semalam akan diteruskan lagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Mohd Fadzli Che Hussin berkata, usaha pencarian yang dilakukan sejak petang semalam dan disambung pagi ini masih gagal mengesan mangsa.
“Untuk makluman kita terima panggilan dalam pukul 6.25 petang semalam. Dengan kekuatan 12 anggota kita bergegas ke lokasi dan mulakan usaha mencari di permukaan air bagi peringkat awal. Usaha pencarian ini dibuat sehingga malam.
“Hari ini kita sambung lagi mulai jam 9.30 pagi dengan disertai unit K9 bersama pasukan penyelam. Usaha mencari dimulai dari tempat mangsa jatuh sehingga ke penghujung punca Sungai Pinji,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Difahamkan, usaha pencarian pagi tadi turut dihadiri oleh ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.
Sementara itu Mohd Fadzli berkata, berdasarkan keterangan orang ramai, mangsa dipercayai melalui jambatan sementara itu berikutan jambatan sedia ada sedang dibaik pulih.
Katanya, ketika jatuh arus sungai serta peningkatan air sungai agak tinggi dan dikhuatiri menyebabkan mangsa dihanyutkan arus sungai.
“Ada kemungkinan mangsa tergelincir atau terjatuh, tetapi motosikalnya tidak jatuh ke sungai.
“Apa pun, usaha pencarian akan diteruskan bermula dari tempat mangsa jatuh sehingga sepanjang sungai ni yang dianggarkan sejauh 3 kilometer.
“Sungai ni banyak lekuk. Namun kita akan teruskan usaha mencari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!